Pas milik kelebihan, UMNO yakin menang PRK Kemaman

Pas milik kelebihan, UMNO yakin menang PRK Kemaman

Ahmad Samsuri Mokhtar dan Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROSES penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bermula hari ini.

Dua calon yang bertanding, bekas Panglima Angkatan Tentera (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (Pas) akan menyerahkan borang pencalonan mereka kira-kira pukul 9 hingga 10 pagi.

Ramai pemerhati mahupun penganalisis politik melihat, pertandingan satu lawan satu ini bakal memberi kelebihan kepada Ahmad Samsuri tetapi tidak mengetepikan ketokohan Raja Mohamed Affandi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan kepada senario semasa, aura penguasaan Pas di Terengganu masih jitu untuk digoyahkan selepas menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengumumkan calon Pas di Chukai, Kemaman kelmarin yakin parti itu mampu mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lebih 30,000 undi dalam PRK berkenaan.

Selain itu, faktor perbezaan majoriti undi yang besar diraih calon lalu, Che Alias Abd. Hamid sebanyak 27,179 undi selepas meraih 65,714 undi keseluruhan, mengalahkan Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi).

Pun begitu, calon yang ditampilkan, Raja Mohamed Affandi bukanlah calang-calang orangnya. Beliau yang dilahirkan di Besut dan dibesarkan di Kemaman dikatakan mempunyai pengaruhnya yang tersendiri.

Ini berdasarkan kepada jasa dan khidmatnya membantu masyarakat setempat melalui Projek Jiwa Murni sepanjang menjadi orang nombor satu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pastinya BN sudah mengambil kira semua faktor yang dimiliki Raja Mohamed Affandi sebelum beliau dicalonkan.

Berdasarkan pertembungan dua calon ini yang mempunyai latar belakang dan pengalaman yang berbeza serta pengaruh, PRK Parlimen Kemaman kali ini dilihat lebih menarik berbanding sebelum ini.

Kempen PRK selepas penamaan calon ini berlangsung selama 14 hari bagi meraih undi di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdapat dalam Parlimen tersebut.

Empat kawasan DUN itu ialah Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai dengan seramai 141,790 pemilih.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Abd. Hamid yang mewakili Pas pada 26 September lalu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×