Olimpik: Basikal lebuh raya wanita ke Paris

Olimpik: Basikal lebuh raya wanita ke Paris

Amarjit Singh Gill
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad basikal lebuh raya wanita negara menerima perkhabaran gembira selepas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengumumkan Malaysia mendapat satu slot untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, pengumuman UCI itu merupakan sejarah buat basikal lebuh raya wanita kerana mereka akan beraksi buat kali pertama di pentas Olimpik.

Amarjit berkata, keputusan UCI itu mengambil kira ranking dunia dan juga kedudukan pasukan kebangsaan di Kejohanan Asia Lebuhraya yang ketika itu Malaysia menduduki tangga keenam selain babitkan keputusan Kejohanan Continental Championship di Thailand pada Jun lalu.

“Slot biasanya ditetapkan berdasarkan kedudukan ranking yang ditetapkan. Jadi, berdasarkan ranking ada beberapa negara telah layak selain mengambil kira kepada keputusan Continental Championship yang kita ambil bahagian di Thailand pada Jun lalu.

“Berdasarkan kedudukan pelumba malaysia pada kejohanan itu mereka (UCI) ambil kira dan kita mendapat satu slot selepas mengambil kita ada pelumba negara lain sudah layak secara merit ke temasya berkenaan.

“Ini adalah buat kali pertama kita layak dalam lebuh raya wanita. Nama pelumba yang akan mewakili negara akan diputuskan dalam mesyuarat exco dengan Biro Lebuhraya dan kriteria pemilihan akan dimaklumkan oleh biro berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai proses kelayakan dua pelumba trek negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Amarjit berkata, aksi kelayakan masih lagi berjalan dan keputusan rasmi dijangka diketahui pada April depan.

“Kelayakan Azizulhasni dan Shah Firdaus masih berjalan sebab kejohanan masih berjalan, kita akan tahu pada tahun depan dan kemungkinan pada April. Tetapi kedua-dua mereka berada di landasan terbaik untuk layak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×