PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat bukan sahaja kehilangan kepercayaan ahli sejak gagal menempatkan diri di tampuk kuasa pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tetapi juga kehilangan keyakinan kepada pemimpin-pemimpin sendiri.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, Bersatu kini lemah disebabkan kehilangan kepercayaan daripada pemimpin dan ahlinya sendiri.
Kata beliau, Bersatu sedang sedaya upaya untuk mengekang ahli parlimen daripada mengalihkan sokongan kerana bimbang jika ia berterusan akan menunjukkan sisi negatif parti tersebut kepada orang di luar.
“Biasanya kenyataan-kenyataan begitu hanya untuk memberi gambaran bahawa tidak ada sesuatu yang tidak betul berlaku dalam sesebuah parti politik itu di mana mereka ingin meyakinkan bukan sahaja ahli dan kepemimpinan parti, tetapi turut memberi gambaran positif pada rakyat yang sudah menyaksikan mengalihkan sokongan.
“Sejauh mana itu betul atau tidak, sukar untuk kita yang berada di luar parti itu menelaah atau mejangkakan.
“Jika ada lagi yang mengalihkan sokongan mereka, ia bukan sahaja akan memberi gambaran buruk terhadap Bersatu, tetapi juga melemahkan mereka dan melunturkan semangat semua dalam parti tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Bersatu yakin bahawa episod ahli parlimen memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tamat.
Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beberapa langkah pengukuhan diambil pimpinan parti itu bagi mengekang lebih ramai ahli Parlimen Bersatu menyokong Kerajaan Perpaduan.
Ia susulan daripada tindakan empat ahli Parlimen mereka iaitu Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abd Rahman (Labuan) menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Jeniri berkata, apa yang dihadapi oleh Bersatu sebelum ini jelas menunjukkan empat pemimpin tersebut kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti dan arah masa depan parti.
KEPUTUSAN
“Jika mereka benar-benar yakin kepada parti, sudah pasti tidak akan mengambil keputusan drastik sehingga meletakkan diri mereka dalam satu risiko dalam partinya.
“Jelas menunjukkan mereka kehilangan kepercayaan, tetapi, tidak boleh keluar parti kerana implikasinya berat dan serius disebabkan Akta Anti Lompat Parti. Jadi jalan terbaik mengalihkan sokongan,” katanya.
Katanya, ia juga kesan daripada ‘lingkaran syaitan’ yang perlu dihadapi Bersatu dan keengganan mereka menutup kelompongan akta tersebut sehingga ia boleh dimanipulasi sehingga memberi kesan kepada parti itu sendiri.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, Bersatu kini sedang menghadapi ujian pertama sebagai pembangkang, di mana kesetiaan pemimpin diuji.
“Menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan pembelaan rakyat seperti peruntukan tidak ada masalah, memberikan sokongan ini lebih kepada perbincangan dengan Perdana Menteri.
“Akan tetapi, jika sokongan ini bersifat politik atau mengalih sokongan daripada Perikatan Nasional (PN) ke Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), maka, ia suatu yang berisiko kepada PN.
“Bersatu perlu mengingatkan ahli parlimen mereka agar terus setia kepada parti. Mereka wajar kekal sebagai wakil rakyat PN untuk menjadi pembangkang yang berfaedah,” jelasnya.
Tambahnya, kekuatan Bersatu lebih kepada bergantung kepada Pas selama ini, jadi jika pemimpin mereka mudah beralih sokongan maka rakyat akan hilang kepercayaan kepada mereka. – UTUSAN











