JERANTUT: Atas sikap prihatin dan perasaan simpati, seorang usahawan, Datuk Ridzuan Mansor, 50, menziarahi penduduk kaum India yang memerlukan bantuan dengan menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur sempena sambutan Deepavali di taman perumahan sekitar bandar ini, semalam.
Ridzuan selaku Penaung Pertubuhan Pak Cik Prihatin Jerantut meluangkan masa hampir tiga jam mengunjungi enam penduduk kaum India di Taman Ruby, Taman Koperasi, Taman Seri Makmur, Taman Mawar Murni dan perumahan pinggir bandar ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ridzuan yang juga bekas Ahli Majlis Daerah Jerantut berkata, menjelang dan ketika perayaan orang Melayu, Tionghua dan kaum lain, dia meneruskan tradisi berziarah sambil beramal jariah kepada keluarga yang memerlukan bantuan dengan menyampaikan sumbangan supaya mereka lebih ceria menyambut perayaan masing-masing.
“Saya terpanggil dan amat bersimpati untuk membantu apabila dimaklumkan oleh ketua kampung dan ketua masyarakat kaum berkenaan, ada penduduk yang asnaf, uzur, sakit kronik serta orang kurang upaya memerlukan perhatian kebajikan.
“Amal kebajikan yang saya tunaikan tidak mengira kaum dan lebih pentingnya untuk mendekatkan ukhuwah sesama kita secara langsung mampu menceriakan penduduk yang memerlukan bantuan supaya dapat mengurangkan tekanan di samping menikmati kebahagiaan seperti insan lain yang bernasib baik,” katanya di Taman Mutiara semalam.
Ridzuan yang sinonim dengan penduduk daerah ini sebagai ‘Pak Cik Prihatin’ berkata, hanya bantuan yang disampaikan sendiri ke tangan penerima yang terlantar uzur dan sakit dapat menzahirkan nilai kemanusiaan serta berpuas hati kerana dapat melunaskan tanggungjawab sekali gus menginsafkan diri sebagai seorang Islam.
Sementara itu, seorang penerima di Taman Ruby, R. Ganesan, 64, berterima kasih dan ceria kerana setiap kali perayaan Deepavali, Pak Cik Prihatin menjengah rumahnya dengan menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur.
“Setiap kali Deepavali, dia datang membawa barang dapur dan beramah mesra dengan saya dan memberikan nasihat menjaga supaya menjaga kesihatan,” katanya. – UTUSAN










