PETALING JAYA: Indeks Sentimen Pengguna (CSI) Malaysia turun kepada 78.9 mata pada suku ketiga (S3) 2023, paras terendah sejak suku kedua 2021 ketika negara berada di fasa sekatan Covid-19, menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
CSI suku dilapor juga turun daripada 90.8 mata suku ke suku dan 86 mata tahun ke tahun.
MIER berkata, perkara sama berlaku pada Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) apabila turun kepada 79.7 mata iaitu paras terendah sejak suku kedua 2020 apabila penularan Covid-19 baru bermula.
“Walaupun CSI suku dilapor hanya mengalami sedikit penurunan suku ke suku daripada 82.4 mata, namun ia mengalami penyusutan ketara tahun ke tahun daripada 99.8 mata.
“Pesanan domestik telah meningkat sedikit, namun pesanan eksport berkurangan, sementara perniagaan terus bimbang tentang peningkatan kos,” katanya dalam Laporan Ekonomi Malaysia Suku Ketiga 2023.
Mengulas mengenai penyusutan CSI, jelas MIER, sebanyak 56 peratus responden melaporkan bahawa kos gaji mereka telah meningkat pada suku ini, manakala hanya 23 peratus melaporkan meningkatkan harga jualan mereka.
“Sejumlah 45 peratus responden mengatakan kewangan mereka bertambah buruk pada suku ini berbanding hanya 10 peratus yang mengatakan kewangan mereka telah bertambah baik.
“Sementara itu, 40 peratus responden menjangkakan kewangan mereka bertambah buruk pada masa hadapan berbanding hanya 15 peratus yang menjangkakan peningkatan.
“Keputusan ini sepadan dengan ramalan daripada responden mengenai kos sara hidup, dengan 91 peratus menjangkakan inflasi akan meningkat berbanding hanya 20 peratus menjangkakan pendapatan meningkat,” katanya.
Sementara itu, menurut MIER, penurunan dalam BCI dan indeks dijangka disebabkan kuasa lantunan semula dalam jualan dan pesanan domestik.
Ujarnya, responden mungkin terbebani oleh ketidaktentuan global dan kemerosotan dalam pesanan luaran.
“Tinjauan jualan syarikat melantun semula, meningkat 3.4 mata kepada 43.9 pada suku ketiga 2023. Namun, pada asas tahunan ia turun 21.7 mata daripada suku ketiga tahun lalu.
“Syarikat yang ditinjau nampaknya kurang pesimis tentang prospek jualan mereka. Sebanyak 18 peratus daripada responden melaporkan jualan yang baik untuk suku tersebut, 52 peratus melaporkan jualan yang memuaskan dan 30 peratus mengatakan jualan adalah lemah.
“Industri tekstil dan kulit masing-masing melaporkan jualan baik, sebaliknya bahan kimia dan farmaseutikal, getah, perabot dan lain-lain sektor pembuatan dan pembaikan serta pemasangan melaporkan jualan yang lemah,” ujarnya. – UTUSAN










