Malakoff bangun sistem solar PV Gas Malaysia

Malakoff bangun sistem solar PV Gas Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Bhd. (Malakoff) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malakoff Radiance Sdn. Bhd., memeterai perjanjian pembelian kuasa solar (SPPA) dengan Gas Malaysia Bhd. bagi pembangunan, pengoperasian dan penyenggaraan sistem fotovoltaik solar (PV) di tiga tapak Gas Malaysia.

Tapak berkenaan ialah ibu pejabat Gas Malaysia di Shah Alam, Pejabat Wilayah Selatan di Pasir Gudang, Johor dan Pejabat Serantau Timur di Gebeng, Kuantan.

Selain itu, Malakoff juga akan memasang stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Ibu Pejabat Gas Malaysia dan Gas Malaysia di Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Pelaksanaan penyelesaian tenaga solar dan pemasangan infrastruktur mobiliti bebas karbon menerusi kerjasama ini adalah satu langkah ke arah merealisasikan komitmennya mencapai projek solar 500 megawat (MW) dalam Kumpulan Syarikat Albukhary, dan dalam masa yang sama menyokong aspirasi Gas Malaysia dalam meningkatkan kelestarian alam sekitar.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib, pihaknya percaya dengan menggabungkan penyelesaian pengecasan EV ke dalam infrastruktur korporat berfungsi sebagai penjelmaan ketara nilai teras organisasi tersebut dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kemampanan.

“Inisiatif ini benar-benar menunjukkan dedikasi kedua-dua Malakoff dan juga Gas Malaysia untuk menyelaraskan tindakan kami dengan komitmen kami terhadap penggunaan tenaga hijau, menjadi contoh teladan kepada industri,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga kini, Malakoff memegang sejumlah 151 MW kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui di bawah portfolionya, terdiri dari projek yang diperoleh untuk solar berskala besar (LSS), solar atas bumbung (RTS) dan penjanaan kuasa hidro kecil.

Dalam usaha memastikan dunia yang lebih bersih dan hijau, SPPA berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen Malakoff ke arah Matlamat ketujuh Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tenaga mampu milik dan bersih yang menumpukan kepada memastikan akses tenaga yang berpatutan, terjamin dan mampan untuk semua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×