PETALING JAYA: Harga saham Boustead Plantations Bhd. (BPlant) naik satu sen atau 0.65 peratus kepada RM1.54 hari ini selepas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengeluarkan notis tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat Jumaat lalu (10 Nov) untuk memperoleh baki saham yang tidak dimilikinya dalam BPlant pada harga tunai RM1.55 sesaham.
Pada masa berita ini ditulis, kira-kira 17.64 juta saham telah bertukar tangan.
Harga saham BPlant telah meningkat lebih daripada 140 peratus daripada paras rendah 64 sen pada Jun lalu.
Kaunter Syarikat itu meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam tempoh empat bulan lalu dan 20.31 peratus lebih tinggi daripada aset bersih sesaham RM1.28 pada 30 Jun 2023.
Pada harga semasa, Syarikat mempunyai permodalan pasaran RM3.45 bilion dan berdagang pada nisbah harga-pendapatan sebanyak 39.64 kali.
Jumaat lalu, LTAT mengeluarkan notis tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat bagi baki saham yang tidak dimilikinya dalam BPlant berikutan pemeteraian perjanjian dengan Boustead Holdings Bhd. untuk memperoleh 739.2 juta saham atau 33 peratus kepentingan dalam syarikat itu.
Sebelum tawaran LTAT, harga saham BPlant telah meningkat berikutan cadangan perjanjian pengambilalihan RM1.15 bilion oleh Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) pada Ogos yang ditamatkan bulan lepas apabila kerajaan memutuskan untuk mengekalkan syarikat berkaitan kerajaan itu dalam bidang kuasanya dan mengekalkan kepentingan bumiputera.
Boustead memegang 57.42 peratus kepentingan dalam BPlant, manakala LTAT memegang 10.59 peratus. Selepas pemerolehan saham selesai, pegangan saham LTAT dalam BPlant akan meningkat kepada 976.41 juta saham, mewakili 43.59 peratus kepentingan.
Pada Julai, lima pembida termasuk KLK, IOI Corp Bhd., kumpulan YTL, Tradewinds Corp., dan kumpulan Samling, menyatakan minat untuk memperoleh blok kawalan saham BPlant daripada LTAT dan Boustead.
BPlant memiliki 42 ladang kelapa sawit yang beroperasi, termasuk 16 ladang di Semenanjung Malaysia serta 26 ladang di Sabah dan Sarawak. Syarikat itu turut memiliki 10 kilang kelapa sawit terdiri daripada tiga kilang di Semenanjung Malaysia, lima di Sabah dan dua di Sarawak.
Menurut laporan tahunan terbaharu BPlant, sebanyak 72,300 hektar daripada simpanan tanah Kumpulan digunakan untuk penanaman kelapa sawit, mewakili 74 peratus daripada jumlah simpanan tanahnya seluas 97,400 hektar.
Ini terdiri daripada 23,300 hektar di Semenanjung Malaysia, 38,700 hektar di Sabah dan 10,300 hektar di Sarawak.
Pada akhir Jun, Kumpulan mempunyai pinjaman jangka pendek sebanyak RM511.9 juta dan pinjaman jangka panjang sebanyak RM328.26 juta. Wang tunai dan baki bank berjumlah RM96.08 juta. – UTUSAN










