Negeri Sembilan letak syarat lesen tapak perkhemahan

Negeri Sembilan letak syarat lesen tapak perkhemahan

J. ARUL KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan kini dalam proses melakukan pemutihan dan memberi lesen kepada pengusaha-pengusaha tapak perkhemahan di negeri ini menerusi syarat-syarat ditetapkan khususnya dalam usaha memastikan aspek keselamatan diberikan keutamaan oleh setiap pengusahanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, pihaknya sedang menunggu garis panduan perancangan mengenai tapak perkhemahan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk disesuaikan dengan syarat lesen oleh kerajaan negeri.

“Sehingga hari ini tiada apa-apa undang-undang yang boleh menghalang mereka (pengusaha tapak perkhemahan) tetapi di peringkat negeri ada tindakan diambil untuk memberikan lesen kepada mereka. Apabila dilesenkan, ada syarat-syarat yang mereka perlu patuhi. Kerajaan negeri menunggu garis panduan daripada KPKT supaya kedua-duanya seiring.

“Sekarang mereka buat tapak perkhemahan tanpa sebarang syarat, oleh itu apabila ada lesen perlu ada syarat yang mereka mesti patuhi, prosedur operasi standard (SOP) tapak perkhemahan khususnya mengenai kepala air dan kecerunan bukit. Ini demi keselamatan pengunjung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Arul Kumar berkata, apabila lesen dikeluarkan, sudah tentu pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai data lengkap jumlah tapak perkhemahan yang beroperasi khususnya di kawasan milik persendirian.

“Kita tidak tahu jumlah tapak perkhemahan yang beroperasi, ada yang beroperasi di kawasan yang lebih dalam. Jika yang berada di tepi-tepi jalan mungkin boleh dikenal pasti. Kita hanya mengetahui apabila terjadi sesuatu isu.

“Oleh itu, kerajaan negeri meminta mana-mana pihak yang ingin membuka tapak perkhemahan mereka supaya menghentikan terlebih dahulu buat sementara sehingga perkara mengenai perlesenan tapak perkhemahan ini dapat diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×