Ringgit dijangka cecah RM3.50 berbanding dolar Singapura

Ringgit dijangka cecah RM3.50 berbanding dolar Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus lemah berbanding dolar Singapura dengan penganalisis meramal ia boleh mencapai paras terendah RM3.49 menjelang akhir tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pengukuhan dolar Singapura didorong oleh kedudukan negara itu sebagai hab kewangan dunia.

Katanya, kedudukan itu memberi kekuatan kepada Singapura dari segi pengukuhan asas ekonomi dan kewangan, seterusnya menjejaskan nilai ringgit.

Beliau berkata, berbeza de­ngan dolar Amerika Syarikat (AS), di mana ringgit diramal terus mengukuh dan boleh mencapai paras antara RM4.45 hingga RM4.50 hujung tahun ini.

Kelemahan dolar AS antara lain disebabkan pergolakan geopolitik yang berlaku, terutama membabitkan Israel-Palestin yang secara tidak langsung turut melibatkan negara kuasa besar itu.

“Konflik yang berlaku telah mendorong pengukuhan ringgit yang sebenarnya turut dipe­ngaruhi oleh mata wang negara lain seperti China dan Jepun.

“Pengukuhan mata wang China didorong oleh pengukuhan ekonominya, yang merupakan rakan dagang utama Malaysia, turut membantu mengukuhkan ringgit. Selain itu, mata wang tempatan turut disokong oleh pengukuhan yen,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi ringgit dan Bursa Malaysia, kedua-duanya amat dipengaruhi oleh pasaran kewangan dunia, terutama oleh naik atau turun kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS.

Menurut Aimi Zulhazmi, faktor-faktor lain seperti ketega­ngan krisis di Asia Barat, Eropah dan Asia Timur yang akan me­ningkatkan harga minyak mentah, turut memberi kesan kepada kadar inflasi dunia.

Tambah beliau, aliran pasaran mata wang ketika ini akan turut mengarahkan perhatian kepada AS sekiranya Fed menaikkan lagi kadar faedah untuk mengawal inflasi.

“Sekiranya Fed menaikkan kadar faedah, pengurus dana akan menjual mata wang asing terma­suk ringgit dan membeli dolar.

“Tindakan ini akan menguatkan nilai dolar, ditambah de­ngan tindakan pelabur membeli bon-bon kerajaan AS yang menawarkan kadar faedah dan pulangan yang lebih tinggi.

“Perkembangan ini akan mem­­beri kesan kepada ringgit dan pelaburan di Bursa Malaysia akan menurun disebabkan langkah yang diambil oleh Fed,” jelas beliau.

Ringgit pada Jumaat lalu menambah nilai berbanding dolar AS­ kepada 4.7065/7105 daripada 4.7265/7320 seminggu sebelumnya.­

Unit tempatan meningkat berbanding kebanyakan mata wang utama.

Memetik laporan Bernama, ringgit dijangka diniagakan dalam mod berhati-hati berbanding dolar AS minggu ini, kerana peniaga mencari petunjuk baharu mengenai data ekonomi yang lebih ketara.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid dilaporkan berkata, tumpuan akan diberikan kepada indeks harga pengguna AS (CPI) dan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2023 (3Q2023), yang akan diumumkan masing-masing pada 14 November dan 17 November.

“Anggaran pendahuluan yang dikeluarkan bulan lepas menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia telah berkembang pada kadar yang baik sebanyak 3.3 peratus selepas perlahan kepada 2.9 peratus pada suku sebelumnya,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×