PETALING: Atlet olahraga negara, Shereen Samson Vallabuoy percaya catatan 50.95 saat bagi acara lari 400 meter (m) bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai dalam usaha untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Itu merupakan had masa kelayakan ke Paris yang dikeluarkan Persekutuan Olahraga Dunia (WA) bagi acara 400m wanita.
Catatan peribadi terbaik Shereen adalah 51.80s, yang juga rekod kebangsaan dilakar pada Kejohanan Olahraga Mt. SAC di California, Amerika Syarikat (AS) April lalu, sekali gus memadamkan rekod 30 tahun milik Allahyarham Rabia Abdul Salam sebelum ini.
Tambahan pula, 2023 merupakan tahun gemilang buat atlet kelahiran Perak itu apabila bukan sahaja merangkul pingat emas acara 400m di Sukan SEA Kemboja, namun turut sama merangkul dua pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou, menerusi 400m serta kuartet 4x100m.
Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil dalam acara 400m wanita Sukan Olimpik adalah menerusi Noraseela Khalid dalam edisi 2012 London.
“Saya rasa itu (50.95s) akan menjadi sasaran utama saya pada tahun hadapan. Berdasarkan apa yang saya telah lakukan dalam sesi latihan, saya percaya saya mampu untuk mencapainya dengan berusaha lebih lagi bagi merealisasikan impian saya ke Sukan Olimpik.
“Saya akan pulang ke As pada 15 November ini dan saya akan lebih banyak terlibat dengan latihan pra musim dalam dewan terlebih dahulu dan cuba untuk mendapatkan catatan masa tersebut dalam kejohanan-kejohanan dalam dewan terlebih dahulu,” jelas Shereen.
Cabaran buat Shereen apabila dia mungkin kesuntukan waktu untuk cuba melayakkan diri ke temasya berkenaan memandangkan kalendar olahraga di AS hanya akan bermula pada Mac, dan tarikh tutup kelayakan ke Sukan Olimpik pula tamat pada 30 Jun 2024.
Bagaimanapun Shereen yang dibimbing oleh Derrick White di AS bertuah apabila akan berlatih bersama-sama atlet elit Guyana, Aliyah Abrams yang kini berada di tangga ke 21 dunia.
“Dia mempunyai catatan peribadi terbaik iaitu 50.20s, jadi saya rasa ia satu perkara yang bagus untuk saya berlatih dengannya, membolehkan saya berusaha berlari lebih laju lagi.
“Ketika ini saya perlu mempercayai program yang telah dirangka oleh jurulatih saya di AS. Jika saya berjaya mengikutinya dan memberikan tumpuan penuh, saya percaya saya mampu untuk melakukannya dan layak ke Sukan Olimpik Paris,” tambah Shereen. – UTUSAN











