Ada gerakan lemahkan Bersatu - Muhyiddin

Ada gerakan lemahkan Bersatu – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Muh­yiddin Yassin mendakwa, terdapat gerakan terancang daripada par­ti lawan untuk melemahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasio­nal (PN) dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap ahli-ahli Parlimen.

Bagaimanapun Presiden Ber­satu itu menegaskan, par­tinya tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat itu dan tindakan yang lebih tegas akan diambil.

“Tindakan dua lagi Ahli Parlimen Bersatu menyatakan so­kongan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah bercanggah dengan pendirian parti.

“Ini adalah pelanggaran disiplin parti yang serius selain membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip per­juangan PN,” katanya dalam ke­nyataan di sini semalam.

Muhyiddin menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang dan istiqamah mempertahan prinsip perjuangan parti sementara kepimpinan tertinggi parti menangani perkara berkenaan.

Terdahulu Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Aziz Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik merupakan dua ahli Parlimen terbaharu daripada Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman masing-masing mengumumkan soko­ngan mereka pada 12 dan 30 Oktober lepas.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, rasuah didakwa menjadi punca utama sehingga empat ahli Parlimen pembangkang yang bertindak mengalihkan sokongan kepada kerajaan tanpa keluar parti.

Disebabkan itu beliau menghantar usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Jo­hari Abdul bagi membincangkan dan membahaskan perkara tersebut di Parlimen.

“Usul ini berhubung amalan yang dijangka berbaur rasuah, yang mana peruntukan ahli Parlimen digunakan untuk menarik ahli pembangkang menyokong kerajaan. Kalau itu dibuat, memang saya tak tahu nak kata apa.

“Saya bimbang, ada dikatakan dapat imbuhan berbentuk tunai daripada seseorang, di sam­ping mereka dapat peruntukan, ada juga imbuhan lain jadi saya minta benda ini dibincangkan.

“Kalau hal ini berterusan, ia kurang manis. Akta Anti Lompat Parti nampaknya menjurus kepada benda-benda tak elok,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau juga meminta Spea­ker supaya tidak menolak usul tersebut dan beliau terbuka untuk membincangkan perkara itu dalam sesi Kamar Khas Parlimen.

“Kita minta supaya ahli Parlimen berhenti setakat itu, tidak ada lebih daripada empat (ahli Parlimen), tapi kalau berterusan. saya nak beritahu, akan ada dari sana (kerajaan) yang akan datang ke sini (pembangkang),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×