47 keluarga asnaf, fakir miskin diarah keluar rumah

47 asnaf, fakir miskin diarah keluar rumah…hendak duduk mana lepas ini?

SEBAHAGIAN penduduk berkumpul di pekarangan tingkat bawah Pangsapuri Seri Purnama menyatakan bahtanan terhadap arahan berpindah ketika ditemui pemberita dekat pangsapuri tersebut dekat Subang Bestari di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 47 keluarga yang terdiri daripada asnaf dan fakir miskin meluahkan kegusaran apabila dikehendaki keluar dari rumah yang didiami lebih 10 tahun lalu dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Meskipun dikatakan akan ditanggung kos pemindahan dan sewa rumah baharu, penduduk di Pangsapuri Seri Purnama itu dikehendaki mencari sendiri kediamannya bermula tahun hadapan.

Menurut salah seorang penduduk, Nuraini Ghazali, 55, sebagai ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU), dia terkilan apabila menerima arahan tersebut sedangkan pada perjanjian asal penduduk boleh tinggal tanpa tempoh tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ikut perjanjian asal memang sampai bila-bila boleh tinggal dekat situ. Tiba-tiba pegawai dia cakap pemilik mahu ambil balik rumah. Macam mana saya hendak cari rumah baharu dan pindah dengan keadaan saya yang baru lepas kena potong kaki akibat kencing manis, sekarang berkerusi roda.

“Tiada pendapatan tetap, selepas berkerusi roda saya berniaga jual kuih karipap dan donat serta makanan ringan sebagai sumber pendapatan di samping bantuan bulanan daripada LZS,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Azman Abdullah, 66, iaitu seorang mualaf memberitahu, semuanya bermula daripada perjanjian ditandatangani mereka baru-baru ini.

“Saya tak pandai baca, tetapi diminta tandatangan, penduduk lain cakap perjanjian itu menyebabkan kami kena pindah rumah. Macam mana saya hendak pindah, hendak duduk mana lepas ini?

“Saya dan isteri warga emas tidak bekerja harapkan bantuan bulanan LZS kerana masalah kesihatan. Saya sendiri ada masalah buah pinggang sejak dua tahun lalu dan perlu menjalani dialisis setiap tiga kali seminggu itu pun LZS bantu,” luahnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Hazizah Mohammad, 66, berkata sebelum ini dia menerima kunjungan daripada tiga orang pegawai LZS dan dua amil kawasan yang ke rumahnya.

“Salah seorang daripada pegawai LZS itu tidak pernah berurusan dengan penduduk di sini, dia agak kurang adab. Dia tanya berapa orang duduk, siapa lagi tinggal di sini. Lepas itu, tiba-tiba diberitahu kena pindah.

“Saya tak berpuas hati, sebab perjanjian asal mengatakan kami boleh duduk di sini sampai bila-bila. Kemudian saya rujuk ke kaunter LZS dan mereka kata pula saya boleh terus tinggal, tetapi macam mana dengan 46 keluarga yang lain?

“Jadi, saya minta pegawai LZS datang ke sini adakan pertemuan dengan penduduk secara beramai-ramai dan jelaskan. Janganlah kami diarahkan pindah pula, biarlah seperti mana perjanjian asal,” jelasnya.

Sementara itu LZS ketika dihubungi menafikan terdapat arahan pemindahan kepada penduduk di kawasan berkenaan dan memberitahu maklumat lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini