PETALING JAYA: Kedudukan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar berkemungkinan besar tidak terjejas walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggantung keahliannya selama tempoh empat tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana Iskandar Dzulkarnain tidak melompat parti, tetapi hanya menyatakan sokongan.
Oleh itu, katanya, sikap menyokong itu tidak salah dalam undang-undang yang mengekang lompat parti.
Bagaimanapun, katanya, sebarang ketentuan tetap perlu bergantung kepada Perlembagaan parti Bersatu.
“Saya tidak pernah membaca Perlembagaan Bersatu, jadi, saya tidak boleh membuat satu rumusan yang menentukan apa-apa perkara. Tetapi, seseorang ahli parti yang dipandang oleh parti melakukan satu pelanggaran kepada disiplin parti boleh diambil tindakan oleh parti tersebut.
“Oleh itu, kalau dalam perlembagaan parti tidak menentukan atau mengatakan kalau seseorang ahli Parlimen menyokong parti lawan atau kerajaan dan dia terjatuh menjadi ahli Bersatu tersebut. Jadi, jika tidak ada klausa sebegitu, maka walaupun dia dipecat dari parti, ia tidak memudaratkan (dari prinsip) undang-undang.
“Keputusan disiplin parti itu tidak menjejaskan kedudukannya sebagai ahli Parlimen sebab hanya terjejas kalau keahliannya jatuh secara automatik sekiranya tidak mengikut disiplin parti,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jumaat lepas, Bersatu dilapor menggantung keahlian Iskandar Dzulkarnain selama empat tahun selepas beliau menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu bersidang meneliti laporan pelanggaran disiplin dan pelanggaran Perlembagaan Iskandar Dzulkarnain yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar.
Selain Iskandar Dzulkarnain, Ahli Parlimen Labuan daripada Bersatu, Datuk Suhaili Abdul Rahman turut mengisytiharkan sokongan kepada kepemimpinan Anwar.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, beliau sebelum ini sudah mencadangkan untuk memasukkan klausa sesiapa yang tidak mengikut arahan whip dalam situasi di Parlimen semasa undian, maka, dia boleh kehilangan keahlian ahli Parlimen.
Katanya, cadangan itu bagaimanapun tidak dipersetujui sebahagian anggota Kabinet ketika itu serta pemimpin parti politik.
“Bantahan daripada banyak pihak sebab katakan bahawa hak memilih itu adalah terpulang kepada ahli Parlimen. Sedangkan, kita nak elak kerana perkara itu yang sudah berlaku di India, tetapi sebahagian termasuk pemimpin Bersatu tidak setuju.
“Saya sudah jangka perkara sebegini (nyata sokongan) berlaku daripada November 2021 sebab kita membaca dan belajar dari apa yang berlaku di India dan England. Tetapi kita punya pemimpin parti tidak mahu dengar…mahu menggalak orang lompat kiri kanan. Lompat punya lompat parti sendiri terkena.
“Jadi, sekarang jangan menangis undang-undang itu tidak ada. Kalau undang-undang itu ada, dua ahli (Bersatu) sokong kerajaan itu memang tidak boleh,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika dihubungi baru-baru ini memaklumkan, Bersatu tidak mempunyai klausa yang menyatakan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan dasar parti akan tergugur secara automatik sekali gus tergugur keahlian sebagai ahli Parlimen. – UTUSAN











