Baru 18 tahun, pendapatan cecah 6 angka - Utusan Malaysia

Baru 18 tahun, pendapatan cecah 6 angka

Muda, jelita dan berjaya... Shaniena Natasya a/p Lop.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT kepada karisma dan penampilannya, pasti ramai beranggapan umur Shaniena Natasya a/p Lop sudah mencecah pertengahan 20-an, sedangkan hakikatnya remaja tersebut baru berusia 18 tahun.

Pada usia seperti itu, lazimnya rakan-rakan sebayanya mungkin masih berharap duit ibu bapa dan sibuk belajar bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, berbeza dengan Shaniena yang sudah bergelar usahawan berjaya dengan pendapatannya mencecah enam angka setiap bulan.

Di sebalik kejayaan membanggakan dalam bidang perniagaan berasas produk kecantikan itu, anak bongsu daripada dua beradik ini tidak melupakan bidang pendidikan. Malah dia kini sedang menduduki SPM selepas belajar menggunakan guru persendirian di rumah sejak tahun lalu.

Berkat usaha dan tanpa mengenal erti putus asa selepas melihat kehidupan mereka sekeluarga agak susah sebelum ini, Shaniena bermula dalam bidang perniagaan itu sejak 2019 dengan 100 peratus pemasaran dan pasaran melalui media sosial.

Dia menggunakan sebaik mungkin kecanggihan teknologi ketika ini dalam usaha menjana pendapatan dengan menjalankan perniagaan produk kecantikan tersebut khususnya di laman sosial Tik Tok.

Malah, kejelitaan dan kepetahan Shaniena berbicara menjadi kelebihan kepadanya yang sering kali memuat naik kandungan khususnya berbentuk jenaka dalam loghat utara di laman Tik Tok. Ia sekali gus menarik perhatian para pengikutnya yang kini melebihi 900,000.

 

SHANIENA NATASYA bersama produk kecantikan keluarannya yang diusahakan sejak dua tahun lalu.

Dalam tempoh dua tahun sahaja, Shaniena sudah mempunyai lebih 1,000 ejen serta 100 stokis di seluruh negara dan produk kecantikan itu sudah menembusi pasaran antarabangsa seperti Singapura dan lain-lain.

“Untuk mencapai kejayaan memerlukan semangat dan komitmen yang tinggi. Keinginan untuk mengubah kehidupan keluarga yang pernah susah sebelum ini membuatkan saya terus bersemangat dan tidak pernah berhenti berusaha.

“Ramai melihat usia saya terlalu muda. Namun itu bukan penghalang untuk kita mencapai kejayaan. Sebelum itu, sejak usia 13 tahun saya juga bergiat aktif sebagai model dengan memperagakan fesyen khususnya baju muslimah termasuk tudung.

“Selepas itu, saya mula bergiat aktif melalui Tik Tok dan di situ menjadi platform terbaik kepada saya sebelum menceburi bidang perniagaan. Pemasaran saya boleh dikatakan 100 peratus melalui platform Tik Tok ini.

“Malah dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, medium tersebut berjaya membantu apabila perniagaan kami tidak terlalu terjejas,” kata anak jati Guar Syed Alwi, Kangar, Perlis itu.

Katanya, dia membahagikan masa dalam perniagaan dan pelajaran dengan fokus belajar khususnya pada waktu malam.

Jelasnya, ketika ini, pembelajaran semuanya dilakukan secara dalam talian dengan dibantu guru persendirian tersebut.

“Saya memilih belajar menggunakan guru persendirian di rumah kerana tidak mempunyai masa untuk ke sekolah berikutan sibuk dalam bidang perniagaan itu.

“Namun, situasi tersebut tidak mengganggu saya dalam bidang pendidikan ini dan mempunyai hasrat untuk menyambung pelajaran ke luar negara dalam bidang perundangan jika mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan nanti,” katanya.

Shanine berkata, kejayaannya dalam bidang perniagaan pada usia yang muda adalah hasil sokongan keluarga.

Ujarnya, keluarga sentiasa memainkan peranan di sebalik kejayaannya dalam setiap bidang yang diceburi selama ini.

Sementara itu, Shaniena berkata, dia sangat meminati usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri dan Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman dan berharap dapat mengecapi kejayaan seperti mereka suatu hari nanti.

“Untuk mencapai tahap seperti mereka, saya perlu berusaha lebih gigih dalam bidang perniagaan ini dan impian itu tidak mustahil realisasikan dengan komitmen yang tinggi dan tanpa mengenal erti putus asa meskipun kadangkala kita menghadapi masalah.

“Malah, dalam tempoh PKP sebelum ini, saya juga pernah mengalami kerugian hampir RM100,000 disebabkan produk tidak boleh keluar selain ramai stokis berhenti. Namun ia tidak mematahkan semangat saya,” katanya.

Pendapatan enam angka tidak mengalpakan Shanine Natasya, 18, daripada pelajaran. Malah, dia kini sedang menduduki peperiksaan SPM

Di sebalik kejayaan yang dikecapi, Shaniena juga tidak lupa berkongsi rezeki dengan membantu golongan memerlukan.

Dia yang aktif melakukan kerja-kerja amal sering meluangkan masa mengedarkan makanan kepada golongan gelendangan khususnya di sekitar Komtar, Pulau Pinang.

“Selain itu, saya juga menyaluarkan bantuan di rumah orang tua-tua. Apabila kita mendapat lebih rezeki ia perlu dikongsi.

“Saya selalu mengamalkan pendekatan rezeki perlu dikongsi dan itu menjadi salah satu semangat kepada saya untuk terus berusaha dalam bidang perniagaan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×