PETALING JAYA: Banyak pihak meminta supaya sidang Parlimen diadakan kerana ia penting dalam menentukan hala tuju negara termasuk memastikan sistem demokrasi berfungsi.
Mereka menganggap keputusan penangguhan sidang Parlimen sehingga Ogos sebagai bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan membenarkan Dewan Rakyat bersidang ketika tempoh darurat.
Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjunjung titah Seri Paduka yang menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berteraskan Keluhuran Perlembagaan dengan setiap cabang pentadbiran sama ada Eksekutif, Kehakiman atau Parlimen haruslah sentiasa akur kepada tunggak berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, menurut beliau, alasan bimbang jangkitan Covid-19 seperti ditimbulkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan disifatkan tidak masuk akal apabila penganjuran mesyuarat, persidangan dan pameran dibenarkan dengan had kehadiran setiap program 25 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 250 orang.
“Jumlah ahli Parlimen 220 orang dan tidak sampai 250 orang, jadi mengapa kerajaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin takut sangat sidang Dewan Rakyat? Adakah beliau takut dakwaan tidak cukup majoriti benar-benar dibuktikan sewaktu sidang Parlimen,” soalnya di sini semalam.
Kelmarin Takiyuddin memaklumkan, Kabinet bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha melawan Covid-19.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan alasan risiko jangkitan Covid-19 melibatkan ahli Parlimen warga emas sebagai ‘pelik’ sedangkan kerajaan baru-baru ini menganjurkan program setahun pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang dihadiri Perdana Menteri berusia 74 tahun.
Katanya, malah anggota Kabinet dan pemimpin kerajaan lain juga menyertai pelbagai program ketika negara berdepan jumlah jangkitan lima angka, sekali gus terdedah kepada penularan Covid-19.
“Pelajar-pelajar sekolah yang belum lagi terima suntikan vaksin boleh pergi ke sekolah, apatah lagi kami ahli Parlimen yang telah dan bakal menerima vaksin, jadi tiada isu Parlimen tidak boleh bersidang.
“Sangat pelik alasan kerajaan (tangguh) sedangkan Parlimen amat penting untuk bersidang bagi menentukan hala tuju negara,” katanya.
Ahli Parlimen Raub, Tengku Zalpuri Shah Raja Puji pula memaklumkan, tindakan PN adalah cuba mempertahankan kerajaan yang tiada majoriti.
“Jangan sampai negara lain mentertawakan kita dengan alasan dangkal ini dan hal ini kerana keabsahan Kabinet juga adalah faktor ketakutan melampau mereka sekiranya Parlimen bersidang.
“Malah Seri Paduka bertitah darurat yang dimaksudkan adalah pencegahan Covid-19 dan sebenarnya mengikut taksiran Perlembagaan, ia boleh dijalankan,” katanya.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, alasan faktor kesihatan dan terdapat ramai ahli Parlimen berusia emas tidak munasabah sehingga mencacatkan demokrasi.
Katanya, sehubungan itu alasan bimbang berkait penularan wabak Covid-19 tidak relevan.
“Kerajaan seharusnya membenarkan demokrasi berfungsi selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong kerana demokrasi berparlimen seharusnya diraikan dan bukan direncatkan.
“Sidang Dewan Rakyat perlu dibuat segera bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen mengambil bahagian dalam usaha memerangi wabak Covid-19,” kata beliau. – UTUSAN










