SHAH ALAM: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menerusi subsidiarinya, Malakoff Radiance Sdn. Bhd. menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) bersama Kumpulan Syarikat DRB-HICOM dalam usaha mempercepat inisiatif transisi tenaganya.
Perjanjian melibatkan pelaburan berjumlah RM50 juta daripada Malakoff bagi pembangunan, operasi dan penyelenggaraan sistem solar fotovoltaik di 14 lokasi Kumpulan Syarikat DRB-HICOM di Selangor, Perak, Kedah, Melaka dan Pahang.
Bertempoh 25 tahun, perjanjian itu melibatkan kapasiti 20.78 MWp (megawatt peak) serta penjanaan tenaga elektrik keseluruhan berjumlah 26,546.45 megawatt jam setahun.
Jumlah tersebut mampu menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 20,706 tan setahun, bersamaan penyerapan karbon seluas 23,204.56 ekar hutan.
Syarikat terlibat dalam kerjasama terbabit ialah Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) Sdn. Bhd., PMB Properties Sdn. Bhd., ISUZU HICOM Malaysia Sdn. Bhd., HICOM Automotive Manufactures (Malaysia) Sdn. Bhd. dan CTRM Aero Composites Sdn. Bhd.
Turut terlibat HICOM Teck See Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd., DRB-HICOM Berhad, DRB-HICOM Defense Technologies Sdn. Bhd., Defence Services Sdn. Bhd. dan PHN Industry Sdn. Bhd.
Perjanjian berkenaan dijangka akan diperluaskan tahun hadapan dengan penambahan kapasiti sebanyak 10 MW lagi, dengan potensi untuk mencapai sehingga 50 MW tenaga solar atas bumbung.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pihaknya kini dalam proses memperluaskan kepada 10 MW bagi susulan penerimaan yang baik daripada pemasangan solar sebelum ini.
“Banyak peluang kepada kami untuk berkembang melebihi SPPA sedia ada. Ini kerana, Kumpulan DRB-HICOM adalah besar dan banyak bumbung yang sebahagian besarnya dalam sektor pembuatan.
“Jadi, kami akan cuba menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan mereka,” katanya pada majlis pertukaran dokumen SPPA tersebut di Hotel Saujana, semalam.
Beliau berkata, syarikat sedang berkembang secara agresif dalam perniagaan solar, turut berhasrat mengembangkan tawaran tenaga boleh baharu (RE) lain.
Jelasnya, ia termasuk pemasangan stesen kuasa hidro kecil, penggunaan Sistem Storan Tenaga Bateri (BESS), pemasangan pengecas kenderaan elektrik dan penggunaan mobiliti hijau yang sedang diteroka secara intensif.
Buat masa ini, Malakoff menerusi tonggak perniagaan baharunya, iaitu Malakoff Green Solutions memiliki kapasiti penjanaan 151 MW RE. – UTUSAN









