DENGAN kedudukan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya tiada pilihan melainkan perlu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bakal turun sebagai calon daripada parti kerajaan serta dengan kekuatan PN yang kian berkembang termasuk terbaharu mendapat sokongan Gerakan Pulau Pinang, hanya kemenangan yang diharapkan PN daripada Shabudin.
Namun, persoalannya kerusi mana yang boleh dianggap selamat dan boleh menang buat Shabudin atas tiket Bersatu dan PN dalam PRU-15 kelak?
Untuk mempertahankan Parlimen Tasek Gelugor barangkali adalah sesuatu yang sukar meskipun beliau merupakan penyandang kerusi itu sejak 2013.
Ini kerana kemenangannya dalam kedua-dua pilihan raya umum lalu adalah atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum melompat menyertai Bersatu pada 2019.
Dengan kesungguhan dan tekad UMNO Pulau Pinang untuk menentang Bersatu pada PRU-15, ini bermakna Shabudin akan berdepan calon UMNO di Parlimen Tasek Gelugor.
Jika melihat kepada sokongan daripada ahli dan pengundi di Tasek Gelugor, Bersatu perlu mengakui dalam usia parti itu yang baru setahun jagung, akar umbinya tidak sekuat dan sekukuh UMNO atau Pas.
Sementelah Parlimen Tasek Gelugor dengan lebih 70 peratus pengundinya orang Melayu merupakan kubu kuat UMNO dan masih terselamat di sebalik tsunami Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 meskipun dengan hanya majoriti 81 undi.
Faktor calon pada PRU-15 juga dilihat tidak memberi kelebihan kepada Shabudin sekiranya UMNO meneruskan tradisi meletakkan Ketua Bahagiannya bertanding di kerusi Parlimen itu.
Ini kerana Ketua Bahagian UMNO Tasek Gelugor ketika ini, Datuk Muhammad Yusoff Mohd. Noor dinilai antara pemimpin UMNO Pulau Pinang yang memiliki pengaruh dan sokongan kuat.
Muhammad Yusoff juga antara pemimpin yang cukup berpengalaman dengan politik Pulau Pinang memandangkan beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua turut merupakan Ketua Pembangkang DUN ketika ini.
Kedudukan Shabudin di Parlimen Tasek Gelugor mungkin akan lebih selesa sekiranya Bersatu benar-benar dapat menyakinkan penyokong Pas untuk bersama-sama PN.
Ini kerana dalam PRU-14, undi antara ketiga-tiga calon UMNO, Pas (Rizal Hafiz Ruslan) dan Pakatan Harapan (PH), Datuk Marzuki Yahya ketika itu dilihat seimbang.
Namun, dengan situasi Pas yang ketika ini masih berteka-teki dan bermain tarik tali dalam soal sokongan terhadap PN dan Muafakat Nasional (BN), Shabudin belum boleh menarik nafas lega dan yakin untuk mempertahankan Parlimen Tasek Gelugor.
Malah, jika sekali lagi berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi itu antara BN, PN dan PH, maka tidak mustahil skrip sama ketika PRU-14 yang mana memberi kelebihan kepada pembangkang akan berulang. – UTUSAN











