USAHA pelbagai organisasi agama baik agensi kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdakwah kepada masyarakat Orang Asli tidak terhenti biarpun dalam suasana negara ketika ini yang masih diancam pandemik Covid-19.
Di Kelantan, antara agensi terbabit termasuklah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Yayasan Al-Khalifah.
Turut aktif dan komited memastikan syiar Islam terus berkembang dalam kalangan masyarakat Orang Asli adalah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Sepanjang tahun lalu, Yadim berjaya melahirkan 20 daie atau pendakwah dalam kalangan masyarakat Orang Asli di seluruh negara, dengan tiga daripada mereka merupakan anak jati Gua Musang.
Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, pemilihan daie itu dibuat selepas melihat komitmen dan kesungguhan anak Orang Asli tempatan dalam berdakwah kepada penduduk di kawasan penempatan masing-masing.
Katanya, selain Kelantan, Yadim turut melantik daie di Pahang, Perak dan Selangor.
“Orang Asli yang terpilih itu diberi kursus asas dan latihan keagamaan di Institut Latihan Dakwah Yadim di Hulu Langat, Selangor.
“Setiap minggu daie Orang Asli akan melaporkan kegiatan keagamaan di perkampungan mereka kepada pegawai Yadim,” katanya.
Tambah Nasrudin, daie Orang Asli dari Gerik, Perak menunjukkan perkembangan yang baik apabila mereka membuka kelas pengajian agama kepada kaum mereka.
Beliau berkata, pihaknya mengharapkan perkara sama berlaku di Kelantan, khususnya Gua Musang dan kawasan lain selepas ini selepas daie yang dilatih dibenarkan menjalankan aktivitinya.
“Daie dalam kalangan Orang Asli lebih memahami budaya dan naluri hidup kaum sendiri serta mudah memberi kefahaman.
“Kita sebagai orang luar tidak dapat selalu datang ke tempat mereka untuk bertanyakan aktiviti keagamaan yang dilakukan. Jadi inilah tugas daie untuk mendidik Orang Asli mengamalkan ajaran Islam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ancaman pandemik berpanjangan disusuli pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diakui menjadikan kembara dakwah para petugas dan sukarelawan Yadim lebih mencabar.
Kata Nasrudin, pihaknya sentiasa memastikan para petugas dan sukarelawan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan ketika berdakwah.
“Dalam masa sama, para pendakwah turut mendidik masyarakat Orang Asli mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian bagi memutuskan rantaian penularan pandemik itu di negara ini.
CEKAL BERDAKWAH
Tugasan sebagai pendakwah bukan perkara mudah. Apatah lagi jika perlu menjelajah ke perkampungan Orang Asli yang terletak jauh di pedalaman Gua Musang, Kelantan.
Jika hati tidak kental, usaha meneruskan perjuangan Rasulullah dalam menyebar luas syiar Islam itu mungkin ‘goyah’ tatkala melalui jalan balak penuh berliku selain perlu meredah belantara luas sebelum tiba di perkampungan masyarakat itu.
Perit itu bertambah dengan suasana negara ketika ini yang diancam pandemik Covid-19.
Bagi Penolong Pengarah Yadim Kelantan, Yusnita Muhamed Yusoff, 48, berulang-alik ke kawasan pedalaman menguruskan pelbagai aktiviti keagamaan di kampung Orang Asli memerlukan pengorbanan dan komitmen tinggi.

Katanya, pendakwah terpaksa meninggalkan keluarga sehingga selama berminggu-minggu lamanya demi perjuangan itu.
“Kami tidak kisah walaupun terpaksa memasuki kawasan perkampungan itu setiap hari kerana jiwa kami sudah bersama Orang Asli.
“Kami sekarang jadi seperti keluarga dan rasa puas apabila melihat masyarakat Orang Asli mampu menguasai ilmu agama,” katanya.
Tambah Yusnita, Yadim banyak mengadakan program seperti program bantuan dan program aktiviti keagamaan seperti kuiz solat, program amali serta mengajar solat.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Program Yayasan Al-Khalifah, Nor Azhar Mohamed, 35, berkata, yayasan berkenaan berkecimpung dalam dakwah Orang Asli sejak 10 tahun lalu.
Katanya, pengalaman menjadi sukarelawan di kawasan Orang Asli begitu mencabar fizikal dan mentalnya.
“Berlaku pertambahan pemelukan Islam terutamanya daripada generasi muda dan dewasa. Usaha dakwah ini masih perlu giat dilakukan kerana mereka masih memerlukan sokongan daripada kita,” katanya.
DAHAGAKAN BIMBINGAN AGAMA
Masyarakat Orang Asli yang memeluk agama Islam mengakui amat dahagakan ilmu agama.
Mereka sentiasa ternanti-nantikan kedatangan para pendakwah dan sukarelawan ke kawasan penempatan masing-masing untuk mengajar ilmu agama.
Disebabkan kedudukan perkampungan mereka jauh di pedalaman, golongan itu bersyukur apabila ada guru agama ditempatkan di kawasan itu secara tetap atau berkala supaya bimbingan dibuat tidak terkandas di tengah jalan.
Seorang guru agama Orang Asli yang dilantik Maik, Rosli Ruwi, 37, berkata, usaha dakwah di perkampungannya semakin positif dan berkembang apabila disediakan infrastruktur seperti surau dan tenaga pengajar.

Katanya, masyarakat Orang Asli semakin berilmu dan menerima pendedahan agama Islam yang diterapkan oleh pengajar.
“Saya melihat mereka memang dahagakan agama Islam. Kita sebagai pengajar perlu mendidik mereka untuk mengenali Islam secara berterusan.
“NGO Islam di negara ini diminta bergerak lebih aktif dalam memberi bimbingan kepada Orang Asli yang baru memeluk Islam kerana dikhuatiri mereka kembali mengamalkan kepercayaan nenek moyang,” katanya.
Seorang lagi guru agama Orang Asli dari Kampung Brooke Lama, Pos Brooke, Muslan Alang, 64, berkata, penduduk di kampungnya semakin ramai memeluk Islam serta mengamalkan ajaran agama dengan baik.

Katanya, dia bersyukur apabila menjadi pendakwah untuk mengajar Orang Asli beragama Islam di kampungnya sejak tahun 2012.
“Saya melihat Orang Asli memerlukan bimbingan daripada agensi dan NGO Islam agar kami lebih memahami erti sebenar beragama bagi mengelakkan pelbagai pengaruh negatif masyarakat luar sehingga boleh menjejaskan keimanan mereka.
“Kebanyakan masyarakat kami dilahir dan dibesarkan dengan tidak mempunyai agama untuk dianuti dan pada kebiasaannya kami akan memilih agama apabila sudah dewasa dan mampu berfikir sendiri,” katanya.
Perkampungan itu mempunyai 80 peratus penganut agama Islam, manakala selebihnya adalah penganut Kristian selain sebilangan kecil masih mengamalkan kepercayaan nenek moyang.










