MELAKA: Kemelut dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka ketika ini telah berlarutan sejak setahun lalu, susulan tindakan kepemimpinan negeri yang didakwa berterusan menyokong amalan politik tidak sihat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof berkata, beliau terpaksa membidas Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub secara terbuka agar kepemimpinan tertinggi dapat melakukan pembaharuan sewajarnya.
Katanya, tindakan itu penting bagi memastikan Bersatu Melaka sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tanpa diganggu dengan isu dalaman.
“Sudah lebih setahun hak saya dinafikan sejak menjadi ADUN pada November 2021. Mereka bimbang saya akan bertanding merebut jawatan parti dan mereka pula hilang kedudukan.
“Mereka tidak mengalu-alukan kehadiran saya sebagai ahli baharu walaupun saya telah memberi nilai tambah kepada parti pada PRN lepas. Mohd. Yadzil pula seperti memberi restu kepada amalan politik tidak sihat ini.
“Kalau ada masalah selesaikan segera, jangan ada sindrom penafian dan kata ini asam garam politik. Sebab itu saya buat pendedahan terbuka agar kepemimpinan di peringkat pusat tahu kemelut yang berlaku dan segera membuat pembaharuan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Mohd. Aleef dilaporkan membidas Mohd. Yadzil yang juga ADUN Bemban dan Bersatu Bahagian Tangga Batu secara terbuka selepas mendakwa dirinya disekat dan dipinggirkan.
Tambah Mohd. Aleef, tindakan menafikan hak ahli baharu bukan sahaja memberi persepsi negatif kepada Bersatu negeri, malah ia juga menghalang parti terus berkembang.
Menurutnya, beliau telah banyak kali mengingatkan Mohd. Yadzil untuk bersama-sama bekerja keras bagi memberikan kemenangan lebih besar kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“Malangnya dia (Mohd. Yadzil) tetap menyokong orang-orang ini dan berterusan memperkecilkan saya. Pemikiran dia kena tukar, tidak perlu sekat saya kerana kita bersama-sama mahu memberikan kemenangan kepada parti.
“Benda ini satu perkara tidak sihat untuk Bersatu Melaka. Amat menyedihkan sebenarnya kerana ada penyakit begini dalam kalangan orang politik yang akan menyebabkan parti sukar untuk bergerak ke hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Yadzil menafikan dirinya menyokong atau merestui tindakan pihak tertentu yang cuba menafikan hak individu lain dalam parti.
Beliau berkata, perkara yang dibangkitkan secara terbuka oleh Mohd. Aleef berhubung dakwaan layanan parti yang seolah-olah cuba menafikan haknya adalah tidak berasas.
Menurutnya, susulan itu satu pertemuan dengan Mohd. Aleef sedang diatur bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Saya mahu tanya apa maksud dipinggirkan, menyokong dan merestui. Saya akan tanya semua soalan sebab saya tidak faham apa yang dia (Mohd. Aleef) katakan kepada media. Saya sendiri terkejut dengan kenyataan dia, tiada angin tiada ribut tiba-tiba nama kena petik walaupun saya tidak ada kena mengena. Tindakan dia ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut perkara ini sehingga saya bertemu dengan Mohd. Aleef sendiri. Saya hendak siasat dan dapatkan penjelasan apa cerita di sebaliknya terlebih dahulu,” katanya.
Tambah Mohd. Yadzil, kemelut yang berlaku ketika ini adalah bersifat dalaman dan yakin ia boleh diselesaikan secara baik.
Katanya, semua ahli diingatkan untuk menggunakan saluran yang betul dan tidak sewenang-wenangnya menghebahkan masalah dalaman kepada umum.
“Parti politik sebuah organisasi, jadi kita kena faham cara organisasi dan hormati kepimpinan yang ada. Kalau ada masalah, berdepan dan jumpa orang yang betul. Bagi saya semua ada potensi, kelebihan dan semangat masing-masing. Jadi suarakan di saluran yang betul barulah benda tu nampak cantik,” ujarnya. –UTUSAN











