PETALING JAYA: Ketua Wira Parti Warisan (Warisan), Mohd. Ismail Ayob didakwa meninggalkan parti itu kerana gagal melaksanakan tanggungjawab dalam parti selain tidak memberi komitmen dalam aktiviti politik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Mohd. Ismail selalu tidak hadir ke mesyuarat tertinggi dan bahagian parti.
Menurut beliau, kegagalan itu mengundang rasa tidak puas hati akar umbi parti sedangkan beliau telah diundi dan menang jawatan Ketua Wira dalam Perhimpunan Agung Tahunan Warisan tahun lalu.
Katanya, Ismail sebaliknya lebih menumpukan kepada perniagaan sehingga tidak dapat menyumbang sedikit masa untuk hal ehwal parti.
“Beliau ada jawatan tertinggi dalam parti tetapi tidak turun padang bertemu rakyat, jadi, ketua-ketua bahagian bisinglah. Kalau mesyuarat majlis tertinggi dan bahagian pun tidak hadir. Mungkin beliau sedar tidak dapat beri komitmen kerana tiada masa.
“Sedangkan, beliau diundi dan menang dalam pemilihan sebelum ini. Tetapi, selepas itu tidak pernah pun turun padang. Mungkin adalah akar umbi yang bertanya, mengapa ketua wira tidak pernah tengok (bertemu) kami?
“Sejujurnya, tindakan beliau amat mengecewakan tetapi kami tidak boleh paksa kalau dia sudah tidak mempunyai komitmen. Mungkin politik bukan matlamatnya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 7 Oktober lalu, Ismail mengumumkan meletak jawatan dan keluar parti akibat kegagalannya sebagai pemimpin sepanjang menjadi Ketua Wira Warisan dan Ketua Bahagian Warisan Parlimen Kinabatangan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan keluar parti itu bukan disebabkan menerima tawaran atau imbuhan menyertai parti-parti politik lain.
Pada Ogos 2022, Warisan mengumumkan barisan kepimpinan parti untuk penggal 2021 hingga 2024 setelah Perhimpunan Agung Tahun Warisan 2021 dan pemilihan selesai dilaksana, menyaksikan Mohd. Ismail dilantik sebagai Ketua Wira.
Mohd. Azis ketika itu tidak mempertahan jawatan Ketua Wira kerana memberi laluan kepada pemimpin muda.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mohd. Ismail pernah bertanding atas tiket Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau, namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman.
Beliau juga tewas kepada calon BN juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin di DUN Lamag, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 2020 dengan undi majoriti 661. – UTUSAN











