Dunia berdepan kemelesetan jika konflik berterusan

Dunia berdepan kemelesetan jika konflik Gaza berterusan

SYED HAMID ALBAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seluruh dunia bakal berdepan kesan lebih buruk termasuk berlakunya kemelesetan ekonomi global jika serangan Israel terhadap Gaza, Palestin gagal menemui jalan penyelesaian.

Malah situasi dijangka lebih buruk berbanding keadaan dialami selepas perang Ukraine dan Russia apabila konflik Gaza bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk Palestin, malah seluruh dunia jika wujud tindak balas terhadap negara yang cenderung kepada Israel.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, konflik Gaza sebenarnya telah memberi kesan berpanjangan kepada dunia Arab selaku pengeluar bahan api utama dunia sekali gus menyebabkan harga minyak dijangka naik mendadak sejak Israel menggempur kawasan Gaza.

Katanya, keadaan itu telah mendorong minyak mentah Brent naik sehingga AS$4.18 (RM19.78) atau 4.94 peratus, kepada AS$88.76 (RM420.05) setong dalam perdagangan Asia.

“Sebarang kenaikan harga minyak yang berterusan akan bertindak sebagai cukai ke atas pengguna dan menambah tekanan inflasi global termasuk Malaysia sendiri. Jadi konflik Israel dan Gaza tidak hanya membabitkan rakyat Palestin, ia merangkumi seluruh dunia dan rantau Arab.

“Justeru itu, konflik Gaza ini perlu dihentikan segera melalui meja rundingan dan diplomasi, bukannya menggunakan serangan ketenteraan dan ia mengakibatkan keadaan terus bertambah parah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo memberi amaran harga minyak dunia bakal meningkat dalam masa terdekat ekoran konflik tidak kesudahan antara Hamas dan Israel di samping impak jangka panjang ekoran peperangan Rusia dan Ukraine sebelum ini.

Meskipun kedua-dua Israel dan Palestin bukanlah pemain minyak utama, konflik itu terletak di rantau pengeluar serta pengeksport minyak utama dengan pemerhati antarabangsa meramalkan serangan dikhuatiri boleh mencetus kenaikan harga antara 10 hingga 12 peratus dalam tempoh terdekat.

Menurut Syed Hamid, keadaan akan bertambah parah jika negara kuasa besar dunia seperti China, Russia dan Iran bertindak campur tangan dan menggunakan peranan mereka terhadap konflik tersebut apabila menghentikan hubungan dan perdagangan bersama pihak bersekongkol dengan Israel.

“Masalah ini tidak akan menemui jalan penyelesaian jika serangan terus berlaku kerana ada pihak berat sebelah dan menyokong belakang Israel dalam konflik berdarah Gaza,” katanya.

Justeru, beliau menggesa gencatan senjata dilakukanseperti desakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghentikan sementara ketegangan di samping memberi peluang kepada misi kemanusiaan menghantar bahan bakar, bekalan air, makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk Palestin.

“Semua pihak tidak boleh menuding jari kepada Hamas jika mereka enggan melakukan gencatan senjata kerana kumpulan itu hanya mempertahankan kedaulatan tanah air yang diceroboh oleh Israel sejak puluhan tahun lalu.

“Lebih malang dunia Barat menuding kepada Hamas dalam soal ini, lebih buruk lagi Amerika Syarikat bukan bertindak menjadi orang tengah sebaliknya menyokong Israel terhadap serangan kepada Gaza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×