SHAH ALAM: Pas sekali lagi menyatakan keyakinan untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini mempunyai sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keyakinan tersebut didorong oleh kejayaan Pas mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Menurutnya, kerajaan perlu diambil alih apabila mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat.
“Dalam pada itu, PAS dan PN perlu bekerja dengan lebih kuat malah sentiasa bersedia untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan dalam tempoh terdekat memandangkan kepimpinan kerajaan gabungan PH-BN terus gagal menangani isu-isu yang membelenggu masyarakat dan negara – mereka sebenarnya ‘kerajaan gagal’ they won’t walk the talk (cakap tak serupa bikin).
“Dengan itu saja rakyat berhak menikmati hidup mulia dan bermaruah yang merupakan hak insani mereka, bukannya ‘keistimewaan’ yang diagih-agihkan mengikut selera dan kemahuan pemimpin dan pihak yang diberikan kuasa seperti diamalkan oleh Kerajaan PH-BN sekarang,” katanya ketika berucap pada pembukaan Muktamar Tahunan Pas Ke-69, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan kerajaan boleh bertukar pada bila-bila masa berdasarkan sokongan atau keyakinan kepada Perdana Menteri tanpa perlu menunggu pilihan raya.
Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan, muktamar pada kali ini diharap dapat dijadikan sebagai post-mortem untuk menerima kritikan bagi mengukuhkan pentadbirannya di keempat-empat negeri dan parlimen.
“Alhamdulillah melalui mandat rakyat yang memberikan kemenangan kepada kita di peringkat parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), kita berjaya menerajui empat kerajaan negeri (Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu), walaupun kita dinafikan hak sebagai Kerajaan Persekutuan.
“Berikutan dengan kemenangan di atas maka kita mengharapkan muktamar kali ini menjadi medan paling sesuai kepada perwakilan untuk menampilkan perbahasan yang berkualiti berupa muhasabah, kritikan dan ‘post mortem’ yang sekaligus menonjolkan input-input yang bernas dan tuntas membina bagi merencanakan proses mengisi kemenangan.
“Sama ada kita sebagai pembangkang yang efektif dan konstruktif di parlimen dan beberapa DUN, apatah lagi bagi negeri-negeri yang kita berkerajaan,” ujarnya. – UTUSAN










