BARU-BARU ini, petikan dan pengucapan dalam bahasa Tamil, Thirukkural – 385 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024 menjadi bahan perbualan dalam kalangan komuniti India. Thirukkural adalah koleksi panduan hidup dipercayai ditulis sekitar 2,500 tahun dahulu oleh seorang ahli falsafah kuno India, Thiruvalluar.
Ayat Thirukkural yang diucapkan oleh Perdana Menteri membawa erti, usaha mengumpul, menyimpan dan mengedar kekayaan kepada rakyat bagi maksud membela kebajikan mereka adalah tanggungjawab utama sesebuah kerajaan yang baik dan prihatin.
Pengucapan Thirukkural dalam pembentangan Belanjawan 2024 mengundang pelbagai reaksi daripada komuniti India. Ada pihak terharu dengan pengucapan Thirukkural oleh Perdana Menteri, sebaliknya ada pula yang menyindir dalam media sosial terhadap sebutan bahasa Tamil oleh Anwar. Apa pun, komuniti India tidak begitu ghairah terhadap pengucapan Thirukkural tetapi lebih tertarik kepada apa yang mereka akan dapat daripada Belanjawan 2024 bernilai RM393.8 bilion.
Pada umumnya, Belanjawan 2024 menyasarkan kepada matlamat mengurangkan beban kos sara hidup dihadapi rakyat, selain memfokuskan untuk mengurangkan masalah miskin tegar dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum. Namun, kaum India masih mengharapkan pertimbangan, prihatin dan bantuan khas daripada kerajaan dalam mengatasi masalah sosioekonomi mereka. Oleh itu, mereka menzahirkan perasaan hampa terhadap Belanjawan 2024 kerana peruntukan-peruntukan yang disediakan untuk pembangunan kaum itu didapati kurang memenuhi harapan mereka.
Persoalannya, apakah kerajaan kepimpinan Anwar yang mendukung prinsip madani kurang peka dengan masalah dan keperluan kaum India? Kerajaan Persekutuan ketika ini terbentuk oleh gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Usaha beliau menggabungkan PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyebabkan Kerajaan Persekutuan dibentuk oleh Yang di-Pertuan Agong bersandarkan Perkara 40 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Maka, kerajaan yang terbentuk dengan gabungan pelbagai parti dan kaum dirujuk sebagai kerajaan perpaduan pada asalnya dan kerajaan madani pada ketika ini.
Biar apa pun, kerajaan perpaduan mahupun kerajaan madani, di manakah letaknya perwakilan komuniti India? Sejak dahulu lagi, MIC menyertai kerajaan kerana mewakili sebahagian besar komuniti India dalam negara. Malah, MIC merupakan pengasas pembentukan negara ini bersama UMNO yang mewakili orang Melayu dan MCA mewakili orang Cina.
BERTABUR
Namun, dalam peredaran masa, sebahagian besar orang Melayu kini mengalih sokongan mereka kepada Perikatan Nasional (PN). Sebahagian besar, hampir 80 peratus orang Cina kebelakangan ini pula didapati telah meninggalkan MCA dan menyokong DAP serta sekutunya.
Sebaliknya, sebahagian besar orang India secara amnya dan ahli MIC seramai 4,500 orang yang bertabur di seluruh negara masih utuh kekal bersama BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) atas telunjuk kepemimpinan MIC. Bagi Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswan, ketiadaan jawatan bagi wakil MIC dalam kerajaan tidak harus menghalang ahli-ahli parti itu menyokong calon-calon BN dalam pilihan raya.
Sementara itu, apakah kepimpinan BN serta kerajaan perpaduan sedar bahawa MIC semasa kepimpinan Tan Sri V. Manickavasagam merupakan parti yang memperkenalkan simbol neraca sebagai lambang gabungan BN dalam satu majlis perhimpunan MIC pada 1974? BN yang diilhamkan oleh Tun Abdul Razak Hussein, iaitu Pengerusi BN merangkap Perdana Menteri kedua melancarkan simbol neraca sebagai lambang BN buat pertama kalinya dalam satu majlis rapat umum pada 11 Julai 1974 di Padang Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, perlu ingat, kepimpinan kerajaan PN sebelum ini pernah menawarkan jawatan Kabinet kepada ahli Parlimen MIC dan jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke India dan Asia Selatan kepada Presiden MIC sebagai tanda menghargai peranan dan sumbangan parti tersebut kepada negara. Malah kerajaan PN bukan sahaja menghidupkan kembali pelan Indian Blue Print yang diketepikan oleh kerajaan PH apabila berkuasa susulan PRU14, bahkan menyediakan geran RM25 juta untuk Universiti AIMST, iaitu institusi pendidikan tinggi dibina dan diurus oleh MIC.
Sehubungan ini, komuniti India didapati berada di persimpangan bagi menentukan hala tuju politik mereka. Persoalannya, BN yang diterajui UMNO boleh berpakat dan bekerjasama dengan PKR dan DAP demi kelangsungan parti dan kuasa politik, apakah MIC juga boleh mengalih sokongannya kepada gabungan parti politik yang prihatin dan sedia memenuhi keperluan mereka?
Dalam hubungan ini, warga MIC berharap Presiden mereka, Vigneswaran yang berjaya membangkitkan dan memulihkan semangat menghadapi kemerosotan prestasi dalam pilihan raya disebabkan penurunan sokongan orang Melayu kepada BN sejak PRU12, bijak menentukan hala tuju masa depan parti sekali gus komuniti India. Sebahagian besar orang India secara amnya dan ahli MIC secara khususnya masih yakin Vigneswaran mampu memudi MIC ke arah kegemilangan dan kecemerlangan masa depan komuniti India. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosial & politik.











