Minox pindah peningkatan kos kepada pelanggan

Minox pindah peningkatan kos kepada pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Minox International Group Bhd. akan memindahkan peningkatan kos kepada pelanggan berikutan pengumuman kerajaan untuk menaikkan cukai perkhidmatan (ST) daripada 6 peratus kepada 8 peratus dalam pembentangan Belanjawan 2024.

“Kami akan memindahkan peingkatan kos kepada pelanggan. Kami mempunyai harga standard untuk pelanggan kami. Tetapi pada masa ini kami tidak berhasrat untuk meningkatkan kos,” kata Pengarah Urusan Minox, Cheong Chee Son pada sidang media selepas penyenaraian Kumpulan itu.

Minox bergantung penuh kepada pengeluar/pembekal pihak ketiga untuk bekalan produknya. Sebarang peningkatan kos yang besar daripada pembekal disebabkan kenaikan harga bahan mentah, akan memberi kesan secara langsung kepada kos pembelian Kumpulan.

Ditanya berapa banyak Minox akan meningkatkan kos untuk pelanggannya, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Agnes Yap berkata: “Itu bergantung kepada penilaian Kumpulan.”

Minox melalui anak syarikatnya, terlibat terutamanya dalam pengedaran injap sanitari keluli tahan karat, tiub dan kelengkapan, komponen serta peralatan pemasangan, hos getah di bawah jenama “Minox” dan produk lain yang berkaitan.

Pada masa ini, Kumpulan mempunyai 13 pengeluar pihak ketiga dan satu pembekal yang membekalkan produk kebersihan jenama “MINOX®”.

Antara pelanggan akhir industrinya ialah Malaysia Milk Sdn. Bhd., Unilever Foods (M) Sdn. Bhd., Johnson & Johnson (M) Sdn. Bhd., Dindings Poultry Processing Sdn. Bhd., Chuan Sin Sdn. Bhd. (anak syarikat milik penuh Spritzer Bhd.) , Campbell Cheong Chan (Malaysia) Sdn. Bhd., Duopharma (M) Sdn. Bhd., Thai Beverage Public Co. Ltd. dan Nestlé Manufacturing (Malaysia) Sdn. Bhd.

Sementara itu, sebanyak 26 peratus saham premium Minox dibuka pada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen sesaham.

Pada waktu rehat tengah hari, harga saham Kumpulan itu meningkat 44 peratus atau 11 sen kepada 36 sen, bernilai RM129.6 juta. Ia muncul saham aktif teratas di bursa tempatan dengan 229.97 juta saham didagangkan.

Minox yang memperoleh RM22.5 juta daripada IPOnya, akan memperkenalkan kelengkapan vakum dan injap baharu yang disesuaikan untuk barisan pengeluaran semikonduktor.

“Ia dijangka memacu pendapatan Kumpulan kepada “double digit.” Kami akan membina gudang keempat di Puchong untuk menampung jumlah jualan yang lebih tinggi, dan kami menjangkakan gudang itu akan siap menjelang suku kedua 2025.

“Satu lagi kemudahan adalah membina gudang baharu di Singapura untuk menyimpan kelengkapan vakum dan injap baharu kami untuk industri semikonduktor serta menyimpan inventori yang memenuhi keperluan pelanggan di Singapura dan luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×