Jawatan ujian terbesar - Utusan Malaysia

Jawatan ujian terbesar

RAFIDAH AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
SOSOK tubuh wanita berusia 77 tahun yang menyapa kami semasa menunggu di ruang tamu sebuah rumah di Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini agak kurus. Berbanding ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kira-kira 12 tahun lalu. Di sebalik senyumannya, Tan Sri Rafidah Aziz tetap masih seperti dulu – tegas, kuat ingatan dan bersemangat ketika bercakap tentang perkembangan diri serta isu-isu semasa dibangkitkan.

Menyifatkan politik sebagai ‘kehidupan’, Rafidah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO mengaku masih mengikuti perkembangan isu-isu politik semasa tanah air.
“Saya 15 hari di hospital Mac lalu. Bedah perut. Ini kali kelapan, tempat sama. Awal bedah 1978 menyebabkan proses daging melekat-lekat, macam orang buat cacar, tumbuh daging, bukan penyakit tapi tisu saya aktif,” katanya di hujung wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia ZULKIFLI JALIL, SITI MARIAM MD. ZAIN, ASLIZA MUSA dan jurugambar MUHAMMAD FARIZ RUSADIO. Berikut sedutan wawancara tersebut:

 

UTUSAN: Dalam usia 77 tahun, Tan Sri nampak sihat, bersemangat?

Alhamdulillah. Tiada rahsia tiada amalan. Pertamanya, hati mesti bersih. Maknanya tak kutuk-kutuk orang. Tak busuk hati dengan orang, dalam politik atau apa pun. Kita tahan sahaja, sabar. Jika kita berserah pada Allah, kita neutral. Apabila neutral, tidur lelap (lena).

Gembira dengan kehidupan sekarang?
Bersyukur. Kalau kita bersyukur kita gembira. Yang tak gembira ini sebab tak bersyukur – ada pangkat, harta tak puas. Lebih-lebih lagi benda tak halal. Dapat tak berkat. Tak puas. Itu emak saya ajar. Sampai tua (saya) ingat. Apabila hidup bersyukur, automatik (gembira). Tengoklah baju ini (sambil tunjukkan baju yang dipakai) saya beli RM30. Kalau sales turun lagi. Saya belilah sampai 10. Sebenarnya (arwah) suami saya pun kata beli baju mahal-mahal buat apa. Pakai sekali nak pakai dua tiga kali dah malu dekat orang. Beli banyak sampai saya tak kenal baju sendiri. Orang lain beli satu. Saya pernah beli seluar dengan baju 52 helai. Murah 15 ringgit sehelai.

Begitu juga dengan barang kemas, suami saya cakap beli hutang (bayaran secara ansuran). Saya ada fail (rekod hutang). Kalau tak buat ansuran, saya tak beli, tak mampu. Tiap-tiap bulan saya bayar dan bersambung-sambung sehingga 40 tahun. Anak saya dah bercucu, saya belikan barang kemas semasa dia (anak) nak kahwin. Alhamdulillah, bayaran tepat setiap bulan dan saya sendiri datang ke kedai untuk tanda tangan. Ini yang mereka percaya sehinggakan jika bayaran hutang semakin sikit, mereka bawa tray (dulang emas) baharu.

Setiap pagi bangun tidur, apa perkara pertama yang Tan Sri fikirkan?
Saya buat apa yang patut. Sekarang saya melukis. Art MCO (Perintah Kawalan Pergerakan). Guna aplikasi dalam talian. Lepas ini insya-Allah saya nak beli alatan lukisan dan terjemahkan lukisan digital ini kepada lukisan sebenar. Saya hantar sebagai ucapan kepada kawan-kawan.

 

Pemimpin kitar semula

Ada yang kata pemimpin sekarang kebanyakannya ‘kitar semula’?
Tuhan dah tentukan tempat masing-masing. Macam saya tak ada jawatan tapi masih ‘di situ’. Maksudnya, selagi boleh berkhidmat, kita berkhidmat. Itu (yang) orang (selalu) tak hargai.
Yang kata muak ini orang muda yang tamak hendakkan jawatan.

Pakatan Harapan (PH) hanya mampu bertahan 22 bulan. Mengapa ini terjadi?
Pasal mereka gelojoh nak pangkat, Tun (Dr.) Mahathir (Mohamad) pun resah. Orang cuba nak singkirkan dia. Jangan lupa kita ini manusia. Saya sendiri pun kalau orang mengata kita macam-macam, lantak lah kau (letak jawatan). Ini orang yang tak tamak kuasa. Kalau tamak kuasa, bergaduhlah. Saya selalu kata pada Tun (Dr. Mahathir), terima kasih kerana datang balik (arena politik). Sepatutnya kita walaupun dah tak bekerja, negara jangan ditinggalkan. Selagi ada hayat, kita membantu. Bantu, bukan nak makan gaji, nak dapat pangkat. Bantu dengan cara mengubah minda. Saya berceramah merata-rata. Kadang-kadang tiga kali seminggu (ceramah). MCO saya rehat. Nak mula semula September ini.

Tan Sri masih lagi aktif dalam politik?
Politik ini hidup. Politik bukan parti. Politik kehidupan harian. Macam mana nak berada di luar politik? Orang tak faham dengan politik penyertaan. Maknanya kita semua sebahagian daripada politik. Kalau tak, awak duduk dalam hutan. Politik bukan parti. Politik bukan jawatan. Politik kehidupan seharian. Kalau salah tadbir, kita ‘mati’.

Dalam setahun dan beberapa bulan lepas, ada yang lompat parti. Mengapa?
Pasal gelojoh. Sini tak dapat pergi sana. Eh, kalau saya ikutkan hati, saya tak duduk layan awak. Saya meraban di Parlimen cari jawatan. Cuba fikir, kenapa orang macam saya tak aktif macam itu? Begitu ramai hero di luar sana yang tak nak campur tangan hal-hal kotor ini.

Perlukah undang-undang sekat lompat parti?
Memang dah ada draf semua tapi siapa nak luluskan? ‘Mereka’ nak luluskan? Ha! kiamat dunia.

Mungkin jalan mudah adakan pilihan raya umum?
Bagi saya memang sepatutnya. Biar rakyat pilih balik. Rakyat pilih awak, yang awak buat kerajaan sendiri buat apa! Kita kena fikir sebagai warga negara. Dulu kita pangkah atas kerajaan PH, yang ikut pintu ‘jamban’ buat apa. Masuk balik UMNO, Pas sebagainya. Dulu kita sama-sama marah sebab banyak masalah tetapi kerana gelojoh peribadi, hai ampun dosa.

Kalau PRU-15 diadakan sekarang, siapa menang?
Orang yang ada kualiti kepimpinan. Yang memimpin parti atau kumpulan yang boleh membawa ke arah lebih baik. Itu saya sokong. Kita semua akan mati, tak kira muda atau tua.

Tetapi berdasarkan enam pilihan raya kecil yang lepas, semua berpihak kepada BN?
Kita tengok la nak dekat-dekat (pilihan raya) esok, bagaimana parti itu berkumpul.

PH pun ada yang lompat Tan Sri?
Itu lah. Orang melompat ini orang yang melihat peluang. Tetapi ramai bukan melompat, dia buat parti baharu. Bukan lompat peribadi. Itu maknanya alternatif. Yang buat parti betul-betul ini sebab nak mencari pengganti kepada orang yang merosakkan. Itu sebab saya sokong.

Ada sebab lain kenapa 22 bulan sahaja. Mungkin rakyat muak sebab perebutan kuasa?
Yang muak adalah pengikut orang yang nak (kuasa). Rakyat mana? Rakyat umum hendakkan kerajaan yang bertanggungjawab. Bila dia tengok macam ini, dia meluat.

 

Pasal Tun Mahathir

Dr. Mahathir berumur 95 tahun 10 Julai lalu tetapi masih bekerja?
Apasal kita nak suruh dia bersara kalau dia boleh bagi input kepada pembaikan negara? Umur bukan jadi masalah.

Macam-macam cabaran dilalui Tun, Tan Sri tak rasa simpati kepada Tun?
Saya kasihan tapi dia macam saya juga. Kita tabah demi negara. Jadi saya tak nak masuk politik macam itu, tapi kerana dia tahu itu caranya. Sebenarnya dia tak pandang semua ini. Awak semua tak kenal dia. Tun tak pandang (pangkat) tetapi dia rasa perlu bergabung dengan orang yang boleh membantu mentadbir negara.

 

Nasib Anwar Ibrahim?

Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali berusaha jadi Perdana Menteri tetapi masih gagal, kenapa?
Jangan kita lupa, kita orang Islam, apa yang berlaku itu kuasa Allah. Ada sesetengah orang, Allah bagi ujian dengan jawatan. Kita ingat itu adalah hadiah Allah. Bukan. Itu ujian terbesar dan kalau kita tak lulus ujian, malu. Jangan kata aku dah jadi Perdana Menteri maknanya Tuhan restu. Jangan. Tuhan kata, aku bagi sebab engkau hendak sangat. Terlentang terbalik kau hendak. Nah ambil. Tak boleh buat, besar malunya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×