Insentif galak pembangunan teknologi hijau

Insentif galak pembangunan teknologi hijau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELESTARIAN dan teknologi hijau saling berhubung kait dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam sektor hartanah.

Kesedaran ini menyebabkan banyak pemaju hartanah sudah mula mempunyai pelan hala tuju ESG masing-masing, tidak ketinggalan dalam perolehan kewangan yang mampu dicapai jika beralih kepada teknologi yang lebih mampan.

Tambahan pula, Malaysia juga telah meletakkan sasaran untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.

Oleh itu, dilihat banyak pembangunan yang dibangunkan dengan ciri-ciri kelestarian diketengahkan oleh pemaju seperti penggunaan bahan dan teknologi hijau.

Bagi pembeli pula, golongan ini semakin arif tentang keperluan peralihan sumber tenaga hijau untuk memastikan masa depan yang lebih mesra alam.

Seorang pekerja swasta, Zamri Ghani, 47, berkata, dia menyokong penggunaan teknologi hijau dalam sektor pembinaan seperti rumah pintar yang menggunakan tenaga solar dan boleh mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dalam udara.

Katanya, sektor pembinaan buat masa ini mungkin mengalami kekangan untuk berubah kepada teknologi hijau kerana masih baharu dan memerlukan modal yg tinggi dan belum digunakan secara meluas lagi.

“Di sini, peranan pihak kerajaan memberi insentif kepada pihak kontraktor dalam bentuk diskaun kepada barangan berteknologi hijau seperti alatan untuk membina panel solar dirumah yang dibina atau bahan bahan pembinaan yang berasaskan bahan kitar semula.

“Kerajaan juga boleh membenarkan sektor pembinaan dan pembeli yang menggunakan teknologi hijau menjual balik pengurangan kos penggunaan elektrik seperti yang diberi kepada sektor lain melalui pelan induk bandar rendah karbon negara yg diperkenal oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sementara itu, Zamri berkara, kerajaan juga boleh memberi lebih banyak rebat melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada sektor pembinaan dan juga pembeli rumah yang menggunakan teknologi hijau.

“Ini bagi menggalak­kan lebih banyak industri pembinaan meng­gunakan tek­no­logi hijau sete­rus­nya dapat mengurangkan kos pembinaan,” ­ujarnya.

HISMAT HIZRI HISMAT ALANG

Dalam pada itu, seorang juruteknik, Hismat Hizri Hismat Alang, 36, berkata, pembinaan menggunakan teknologi hijau atau bahan yang lebih mesra alam perlu mempunyai daya ketahanan yang setanding atau lebih baik daripada bahan konvensional.

Katanya, ini bagi memastikan bangunan yang dibina selamat di samping menerapkan ciri-ciri mampan sejajar dengan matlamat negara untuk menuju peralihan tenaga boleh diperbaharui.

“Dari segi harga, saya berharap pihak pemaju dapat menge­kalkan harga kediaman seperti harga sedia ada supaya agenda ESG ini dapat dilaksanakan tanpa membebankan pembeli.

“Selain itu, saya juga mengharapkan mereka dapat menyediakan lebih banyak kawasan hijau dalam setiap pembangunan kediaman bagi membantu mengurangkan pelepasan gas karbon,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×