SAYA terkejut membaca kenyataan seorang pensyarah ekonomi dalam sebuah akhbar tempatan yang mendakwa bahawa Bajet 2024 tidak mempunyai reformasi struktur ekonomi yang dikatakan sangat diperlukan oleh negara.
Ini kerana saya yang bukan pakar ekonomi pun membaca dalam teks Bajet 2024. Di bawah tajuk besar, Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan, tercatat banyak huraian mengenai Ikhtiar 4: Merombak Struktur Ekonomi.
Dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bagi menggapai hasrat untuk memeta nama Malaysia sebagai jaguh ekonomi serantau, struktur ekonomi perlu dirombak dan disusun semula supaya potensi yang ada dapat dikembangkan.
Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan Anwar pada 1 September lalu menyasarkan jumlah pelaburan keseluruhan sehingga RM95 bilion di samping melibatkan 3.3 juta peluang pekerjaan dengan gaji penengah sehingga RM4,510 sebulan menjelang 2030.
Dalam Bajet 2024 diumumkan juga kerajaan akan menyediakan peruntukan sehingga 10 peratus daripada jumlah pelaburan sebagai pemangkin memacu misi NIMP 2030 dengan dana permulaan sebanyak RM200 juta.
Bagi mengekang masalah isu struktur yang membelenggu sistem ekonomi termasuklah sektor perindustrian yang menguncup sebelum masanya, keutamaan pelaburan masa hadapan ditumpukan kepada bidang yang berpertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV).
Kerajaan bercadang memberikan galakan cukai pelaburan semula secara tiering dalam bentuk elaun cukai pelaburan sebanyak 70 atau 100 peratus bagi merancakkan syarikat untuk menjana ekonomi melalui pelaburan di dalam bidang berpertumbuhan dan bernilai tinggi.
Bagi menyokong ekosistem aktiviti bernilai tinggi, kerajaan mencadangkan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dijadikan hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia dengan pemberian pakej galakan cukai dalam bentuk kadar cukai khas atau elaun cukai pelaburan.
Kerajaan akan melaksanakan beberapa kebijakan dan pengarahan baharu untuk memudah urusan perniagaan dalam ikhtiar untuk terus memperhebat usaha meraih lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dan membina kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing.
Sebuah Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) telah ditubuhkan untuk mempermudah urusan pelaburan langsung asing (FDI) serta pelaburan langsung domestik (DDI) dan bertanggungjawab melaporkan secara terus kepada Majlis Pelaburan Negara.
Bagi membina ekosistem lebih luas untuk kluster elektrik dan elektronik (E&E) di wilayah utara, selain kawasan perindustrian di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park, Kedah, kerajaan akan membuka kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian, Perak Utara.
Ditegaskan juga kemunculan lebih banyak syarikat pemula tempatan amat mustahak bagi mempercepat penstrukturan semula ekonomi negara dan kerajaan menyasarkan kedudukan ke-20 teratas bagi Ekosistem Syarikat Pemula Global menjelang 2030.
Bagi mengantarabangsakan syarikat pemula tempatan dan meningkatkan daya saing, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLIC) menyediakan dana sehingga RM1.5 bilion untuk menggalakkan syarikat pemula menceburi bidang HGHV.
Termasuk dalam ikhtiar merombak struktur ekonomi ini ialah usaha untuk terus memperkukuh daya saing negara dalam bidang kewangan Islam di samping mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi aktiviti pemerolehan dana dan pelaburan Islam serta hab takaful semula.
CUKAI
Bajet ini juga menggariskan beberapa langkah reformasi percukaian yang akan dilaksanakan mulai tahun hadapan bagi meluaskan asas hasil negara dengan cara yang tidak akan membebankan majoriti rakyat.
Antaranya ialah menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan kepada 8 peratus berbanding 6 peratus serta menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac tahun depan.
Selainnya ialah menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi pada kadar 5 hingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu serta melaksanakan cukai minimum global pada tahun 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro.
Inisiatif lain ialah menguatkuasakan e-invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta manakala pembayar cukai mengikut kategori pendapatan selainnya akan dibuat secara berfasa dengan sasaran pelaksanaan menyeluruh mulai 1 Julai 2025.
Di samping itu, Nombor Pengenalan Cukai (TIN) akan diperluas penggunaannya untuk menyokong pelaksanaan e-invois sekali gus melebarkan lagi jaringan pembayar cukai.
Langkah kawalan penyeludupan rokok yang akan diperluaskan kepada produk minuman keras juga akan diperketatkan mulai 1 Januari tahun depan dengan aktiviti pindah kapal bagi produk minuman keras akan dihadkan di pelabuhan tertentu sahaja.
SUBSIDI
Satu lagi inisiatif besar yang akan dilaksanakan secara berfasa ialah pendekatan penyasaran semula subsidi merangkumi pelepasan kawalan harga sementara yang ditetapkan ke atas ayam dan telur.
Seterusnya melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi tetapi mengekalkan subsidi bagi 90 peratus pengguna yang dapat menjimatkan lebih RM4.6 bilion daripada unjuran subsidi elektrik RM20 bilion.
Selanjutnya ialah merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa dengan secara konsepnya harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi.
Oleh itu, adalah salah sama sekali untuk sesiapa sahaja mendakwa bahawa Bajet 2024 tidak mempunyai reformasi struktur ekonomi kerana kesemua ini (yang dibentang) akan mendatangkan impak besar kepada ekonomi negara.
Pada masa sama, reformasi struktur ekonomi ini tidak boleh dilaksanakan secara radikal dan mengejut kerana ia boleh memberikan impak kepada harga barangan untuk rakyat, maka ada sebabnya mengapa ia dilakukan secara berfasa demi menjaga kebajikan rakyat.-UTUSAN
DR. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM)











