SHAH ALAM: Bakal peneraju Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu memahami matlamat penubuhan universiti sebagai pusat perkembangan ilmu khusus bagi bumiputera dan keperluan untuk mempertahankannya.
Naib Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik universiti itu (Mitasa), Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli berkata, memimpin UiTM boleh diibaratkan seperti mengemudi sesebuah negara dan memerlukan pemimpin yang pragmatis.
“UiTM memerlukan kepemimpinan yang pragmatis dari sudut dasar akademik, kemenjadian mahasiswanya serta keharmonian organisasi melibatkan modal insan yang menggerakkan universiti terbesar di Malaysia.
“Agenda serta matlamat penubuhan UiTM sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang memfokuskan kepada agenda memperkasa Melayu bumiputera wajib dipertahan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan UiTM memerlukan peneraju baharu selepas bekas Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor bersara wajib berkuat kuasa pada 12 Oktober lalu.
Bagaimanapun, susulan itu terdapat 11 nama dipercayai dicadang dipilih sebagai Naib Canselor UiTM Ketujuh, antaranya adalah pegawai-pegawai kanan universiti itu yang terdiri dalam kalangan tiga Timbalan Naib Canselor dan dua Penolong Naib Canselor.
Malah, bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang sebelum ini turut disebut menafikan beliau dicadang untuk jawatan tersebut dan menjelaskan tidak pernah memohon untuk menerajui UiTM.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUiTM), Zulkifli Mohamed berkata, pelantikan dalam kalangan ‘orang UiTM’ amat penting kerana hanya individu tersebut memahami ekosistem UiTM dan mampu meneruskan legasi kepemimpinan terdahulu.
“Kita bukan menolak individu dalam kalangan orang politik mahu pun tokoh dari universiti lain, tetapi UiTM sendiri mempunyai ramai tokoh yang memiliki semangat perjuangan serta kelayakan akademik untuk memartabatkan pendidikan orang Melayu dan bumiputera.
“Apa yang penting perjuangan yang dibawa oleh Naib Canselor terdahulu lebih bersifat untuk kemajuan akademik hingga kita mampu melahirkan lebih sejuta pemegang skrol UiTM,” jelasnya. – UTUSAN










