Perjalanan Nabi SAW ke Masjid Aqsa - Utusan Malaysia

Perjalanan Nabi SAW ke Masjid Aqsa

MASJID Aqsa adalah lokasi berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj ke atas Nabi Muhammad SAW.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peristiwa perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa adalah merupakan satu mukjizat yang sangat agung yang tidak pernah berlaku kepada sesiapapun selain baginda. Ini adalah satu tanda kekuasaan dan keagungan Allah SWT yang mampu melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki.

TAHUN KESEDIHAN

Pada Ramadan tahun ke-10 kenabian, berlaku kematian dua tokoh yang begitu hebat dalam mempertahankan Rasulullah SAW dan dakwah baginda.Mereka ialah bapa saudara baginda; Abu Talib dan isteri kesayangan baginda; Saidatina Khadijah binti Khuwaylid bin Asad bin Abdul ‘Uzza.

Kesedihan begitu terasa di hati Rasulullah SAW kerana dua insan ini adalah tulang belakang baginda selama berdakwah dan mengajak manusia kepada keimanan dan ketauhidan.

Maka tidak hairanlah apabila golongan musyrikin Mekah semakin menjadi-jadi dalam menentang dan menghina usaha dakwah baginda selepas kematian isteri dan bapa saudara baginda.

Pada Syawal tahun yang sama, Rasulullah SAW ditemani anak angkat baginda iaitu Saidina Zaid bin Harithah menuju ke Taif dengan berjalan kaki. Jarak antara Mekah dan Taif adalah sekitar 110 kilometer (km). Ia demi menyampaikan risalah Islam kepada penduduk Taif.

Namun dakwah yang disampaikan baginda tidak diendahkan oleh penduduk Taif. Malah mereka telah melempar tubuh baginda dengan batu sehingga kedua kaki Nabi Muhammad SAW berdarah. Saidina Zaid cuba menghadang tubuh baginda dengan tubuhnya sendiri sehingga kepala beliau berdarah dihujani batu.

Setelah pulang ke Mekah, baginda dihalang masuk sedangkan baginda adalah penduduk Mekah. Akhirnya baginda dibenarkan masuk setelah dijamin oleh seorang musyrik yang bernama al-Mut’im bin ‘Adiyy.

Maka setelah kesedihan demi kesedihan dilalui oleh Nabi SAW, Allah telah memuliakan dan menggembirakan hati baginda dengan satu hadiah iaitu perjalanan yang amat jauh lagi menakjubkan.

Namun peristiwa itu hanya mengambil masa satu malam sahaja.

MIMPI DIBAWA BERJALAN

Sebelum berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, baginda sebenarnya pernah bermimpi berulang kali yang baginda dibawa berjalan naik ke langit. Mimpi-mimpi ini sebenarnya adalah sebagai satu pemberitahuan awal agar baginda bersedia menghadapi peristiwa itu.

Akhirnya mimpi ini benar-benar berlaku pada satu malam yang begitu istimewa yang menurut pandangan yang masyhur, malam tersebut adalah malam 27 Rejab tahun ke-12 kenabian.

INSAN SANGAT LAYAK

Secara adatnya, perjalanan dari Mekah ke Palestin iaitu 1,200km mustahil ditempuh hanya dalam satu malam. Namun perjalanan dengan mengenderai seekor binatang khusus yang dikenali sebagai Buroq yang berlari pantas secepat kelajuan cahaja adalah tanda kekuasaan dan kebesaran Allah.

Allah mampu mengubah adat kebiasaan selain membuktikan kelainan dan keistimewaan tersendiri yang ada pada tubuh baginda yang dapat mengikuti perjalanan ajaib yang sangat pantas ini tanpa berlaku sebarang kesan negatif kepada tubuh baginda.

Baginda yang tidur di rumah sepupu baginda iaitu Saidatina Ummu Hani binti Abu Talib pada malam tersebut telah dikejutkan oleh malaikat Jibril lalu dibawa ke Hijr Ismail iaitu di tepi bangunan Kaabah.

Di Hijr Ismail, Rasulullah SAW dibelah dada untuk kali yang keempat lalu jantung baginda dikeluarkan dan dibersihkan dengan air zamzam lalu dimasukkan ke dalam jantung baginda keimanan dan hikmah.

Sebelum ini baginda sewaktu kecil pernah dibelah dada oleh malaikat Jibril sebanyak dua kali di perkampungan Saidatina Halimah al-Sa’diyyah. Kali yang ketiga pula adalah ketika baginda hampir menerima wahyu yang pertama.

Pembelahan dada tanpa alatan moden pada waktu itu menunjukkan bahawa baginda adalah insan yang lain daripada yang lain. Ini kerana jantung seseorang manusia kalau sudah dipisahkan daripada jasadnya, dia akan mati. Namun ini tidak pula berlaku kepada Rasulullah SAW.

KUBUR NABI MUSA

Dalam perjalanan yang sangat menakjubkan ini, Rasulullah SAW dipersilakan oleh malaikat Jibril untuk singgah di kubur Nabi Musa a.s bagi melaksanakan solat sunat.

Sewaktu tiba di Baitullahm, baginda sekali lagi dipersilakan oleh malaikat Jibril untuk mendirikan solat sunat di tempat kelahiran Nabi Isa a.s.

Ini jelas menunjukkan bahawa menziarahi tempat-tempat yang mempunyai kaitan dengan para nabi, rasul dan orang soleh adalah satu tuntutan syarak. Bahkan kita juga diminta mendirikan solat di kawasan-kawasan tersebut kerana berdoa kepada Allah di kawasan kubur para nabi, rasul dan orang soleh adalah doa yang mustajab.

Ada pun hadis yang melarang mendirikan solat di kuburan, ia hanya merujuk kepada tindakan melaksanakan solat di atas kubur atau solat dengan menjadikan kubur sebagai kiblat atau solat di dalam kubur itu sendiri. Ada pun solat di tepi kubur, maka tiada salahnya.

IMAM SOLAT

Setelah baginda tiba di Masjid al-Aqsa, Allah mengumpulkan roh seluruh nabi dan rasul di masjid tersebut untuk sama-sama mendirikan solat secara berjemaah dengan berimamkan Rasulullah SAW.

Ini membuktikan bahawa seluruh para nabi dan rasul mempunyai akidah yang sama sekalipun berlaku perbezaan dari sudut hukum-hakam antara seorang nabi dengan nabi yang lain.

Peristiwa bersejarah ini juga menunjukkan bahawa baginda SAW adalah penghulu para nabi dan rasul. Selain itu peristiwa solat berjemaah oleh seluruh para nabi dan rasul juga menunjukkan roh para nabi dan rasul selepas kewafatan mereka adalah tetap hidup. Malah mereka turut beribadah kepada Allah selepas kewafatan mereka.

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×