Naib Canselor UiTM mesti ada ‘DNA’

Naib Canselor UiTM mesti ada ‘DNA’

uitm
UiTM Holdings milik Universiti Teknologi Mara diwujudkan pada tahun 2007 dengan matlamat utamanya membantu menambah baik keperluan dan kebajikan mahasiswa di samping menjana pendapatan terutama dalam bidang perniagaan yang berkaitan dengan keperluan universiti berkenaan dan pengkomersialan penyelidikan pensyarahnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemilihan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) wajar dilantik dalam kalangan individu yang mempunyai ‘DNA’ (asid deoksiribonukleik) universiti itu kerana lebih memahami dasar dan kepentingan mahasiswanya.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Mohamed Yusuf Hassan Roslan berkata, UiTM adalah sebuah universiti terbesar dengan 189,000 mahasiswa seluruh negara perlu dipimpin oleh Naib Canselor yang sudah pun mempunyai hubungan baik dan dikenali mereka.

“Paling penting mesra mahasiswa dan mementingkan kebajikan bumiputera selain usaha memastikan peningkatan taraf UiTM ke tahap lebih baik. Selain 189,000 mahasiswa, universiti ini mempunyai 244 anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap cawangannya yang berharap mudah mendampingi kepemimpinan universiti.

“Justeru bakal Naib Canselor UiTM mestilah seorang yang inklusif terhadap mahasiswa kerana kalau individu yang bukan dari UiTM, pasti jalinan hubungan dengan mereka akan mengambil masa untuk dibina semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan peneraju jawatan nombor satu eksekutif universiti tersebut bakal mentadbir kesemua 34 cawangannya beserta 200,000 warga termasuk kakitangan dan mahasiswa.

Selain itu, penghuni pejabat tingkat enam Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail itu turut mempunyai akses kepada jaringan rangkaian sejuta alumninya yang berada di sektor awam serta swasta di dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, pemangku Presiden Persekutuan Alumni UiTM, Saiful Azhar Shaharun bagaimanapun menyerahkan kepada kebijaksanaan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memilih peneraju baharu UiTM.

Namun beliau berharap individu tersebut benar-benar memahami matlamat penubuhan universiti itu.

“Keputusan dibuat menteri pastinya melihat pengiraan secara menyeluruh. Namun diharapkan calon tersebut adalah orang dari UiTM yang sudah terbina hubungannya dengan alumni.

“Mungkin pada masa hadapan, pelantikan jawatan strategik seperti Naib Canselor khususnya di universiti awam perlu mengambil kira penglibatan calon-calon dengan alumni sebab hendak menggerakkan universiti bukan hanya membawa mahasiswa dan kakitangan sahaja. Alumni pun turut ada dalam nakhoda besar institusi,” katanya.

Untuk rekod, bekas Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor bersara wajib berkuat kuasa pada 12 Oktober lalu selepas berkhidmat selama 33 tahun di universiti itu sebelum dilantik untuk memimpinnya pada Ogos 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×