PADA 22 Julai 2022, terpampang berita menyatakan 7.2 juta pengunjung atau pelawat dari Tanah Besar China datang ke Malaysia dengan cukup formaliti – ada visa dalam pasport masing-masing, ada bukti sebagai pelancong. Kemudian pada 28 Julai 2022, akhbar tempatan melaporkan 1.2 juta daripada 7.2 juta pelancong tersebut dikesan oleh Jabatan Imigresen tidak pulang ke China. Bererti 1.2 juta pelawat itu hilang dari sistem pengesanan imigresen. Di mana mereka? Apa mereka buat di negara ini sekarang?
Salah siapa dan kenapa berlaku malapetaka seperti ini? Sekali gus dapat dirumus ada sesuatu yang mudarat atau rosak telah berlaku. Ini bukan soal komputer yang rosak tiba-tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau pelabuhan keluar masuk. Ini bererti sistem kenegaraan kita sudah rosak. Mana dalam dunia moden 1.2 juta pelawat tiba-tiba hilang lesap dalam radar pengawasan imigresen?
Tiada siapa yang dapat menjawab secara bertanggungjawab. Perkembangan ini amat pelik dan ganjil bagi rakyat yang peka tentang kenegaraannya. Perkembangan ini menakutkan dari sudut kependudukan dan keselamatan tanah air. Ia merunsingkan masa depan negara kita yang secara terang-terangan tampak diceroboh melalui sistemnya sendiri. Mahu salahkan siapa?
Perkara itu sudah lebih empat tahun berlaku. Tiada apa-apa langkah rasmi diumumkan atau yang rakyat boleh terima sebagai tanggungjawab kenegaraan. Semenjak 2018 sudah tiga perdana menteri bermastautin dan berkuasa di Putrajaya. Penyelesaian malapetaka ini masih tiada.
Persolan timbul dari segi kenegaraan banyak, antaranya:
Bagaimana sampai 1.2 juta warga asing yang masuk antara 2018 dan 2021 tidak meninggalkan negara ini sedangkan mereka masuk menggunakan formaliti imigresen?
Lainlah halnya bagi pendatang haram yang masuk menceroboh semenjak 30 tahun lalu di pelbagai penjuru dan pintu masuk negara kita.
1.2 juta bukan satu angka kecil bagi sebuah negara rule of law yang populasinya hanya 33 juta orang.
Kemasukan 1.2 juta manusia ini bermakna lebih daripada bilangan penduduk Negeri Sembilan yang pada masa ini hanya 1.1 juta. Dengan angka 1.2 juta ini, data komposit demografi negara sudah berubah dan mungkin sengaja diubah.
Apakah tindakan jabatan yang bertanggungjawab dalam hal keluar masuk manusia?
Adakah mereka itu dilindungi atau diselamatkan oleh pihak-pihak tertentu? Adakah soal kecuaian atau salah guna kuasa terlibat? Kenapa tiada sistem mengesan dikuatkuasakan dalam skop pengawasan Jabatan Imigresen? Mungkin sudah ada tetapi setakat ini tiada makluman diberi secara rasmi dan persis.
Sebenarnya ada banyak persoalan lain yang timbul daripada pengumuman pihak berkuasa ini. Diperhatikan pihak berkuasa ambil perhitungan hanya pada 2021 sedangkan jutaan pelawat itu telah berada di negara ini lebih tiga tahun.
Dalam tempoh tiga tahun itu, para perancang antinegara sudah boleh berlaku dan dilakukan melalui pelbagai penyelewengan yang tidak memihak kepentingan sah Malaysia. Dalam tempoh tiga tahun, satu budaya baharu sudah boleh dipelajari dan diamalkan. Hubungan intim sesama kaum juga sudah boleh berlaku oleh kumpulan sebesar itu. Selain sudah boleh bercakap bahasa Melayu pasar, juga dapat perlindungan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan siasah. Sudah boleh kahwin atau berkelamin dengan warga tempatan.
CHOW KIT
Dalam pada itu, pendatang haram yang sudah mengambil alih ekonomi di Selayang, Balakong, Chow Kit, Jelatek dan lain-lain terus menggasak ekonomi orang kampung, B40 dan bawahannya. Rakyat tempatan terus hanya tengok dan lihat. Ratapannya terus kedengaran, namun pendirian kerajaan tidak jelas. Apa akan jadi dalam tempoh 10 tahun lagi? Jawapannya sudah pun diketahui, tak perlu dihuraikan lagi.
Populasi Malaysia kini 33 juta. Melayu-bumiputera 65%; Cina 24%; India dan lain-lain 11%. Penduduk bandar seluruh tanah air sekitar 93% terdiri daripada masyarakat Tionghoa. Jika kumpulan 1.2 juta itu menyusup dengan perolehan ciri-ciri budaya baharu mereka, barang sudah tentu soal menyiasat dan mengecam berada pada tahap sukar kerana mereka sudah bergelumang sosial dengan persekitaran yang amat mudah – sepertimana mudahnya orang India merantau ke Brickfields dan terus menetap di Pulau Pinang atau di Klang. Atau pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dan Bangladesh di Chow Kit, Jelatek, Ampang, Selayang, Kajang dan Balakong. Apatah lagi bila merebak berita jual beli MyKad seperti dilaporkan di Pulau Pinang beberapa bulan lalu, tanggapan rakyat terhadap keluhuran undang-undang terus meleset.
Dalam persekitaran begini, bolos masuk Malaysia sudah menjadi berita biasa. Peribahasa Melayu, alah bisa tegal biasa akan terpakai dalam situasi ini. Lama-kelamaan bangsa dan agama hanyut ke hilir oleh bah pendatang haram.
Apa yang berlaku ialah pencerobohan keselamatan tanah air kita. Malangnya hal ini diambil lewa sahaja antara pekikan politik dan berita bersasar. Situasi ini amat mencabar. Satu perkara wajib bagi Jabatan Imigresen ialah memburu, mencari 1.2 juta ini sampai ke lubang cacing. Belajar dari China sendiri. Rejim mereka terkenal dengan ketegasan terhadap pendatang haram serta kewaspadaan di Laut China Selatan. Soalnya, di manakah tersimpannya senarai pelawat songsang ini? Tentu ada dalam sistem jabatan berkenaan. Di KLIA dan setiap pelabuhan, butiran pasport setiap individu keluar masuk Malaysia wajib ada. Hebah dan sebarkan foto dan butiran mereka, dapatkan kerjasama erat hotel, rumah penginapan, inap desa atau tempat inapan lain. Sepatutnya sistem yang mengandungi langkah-langkah demi survival Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat tetap ada dan siap siaga.
Amalan beberapa negara jiran terhadap pelawat asing – pasport mereka disalin, lantas disimpan dalam komputer induk yang kalis intip. Bila habis sahaja tempoh visa lawatan, biasanya sebulan, imigresen mula mencari subjek. Jelas sistem ini tak terpakai di Malaysia. Dulu-dulu sistem serbu dan tangkap sering dilakukan. Kini amalan pencegahan ini tidak nampak dilakukan lagi. Atas suasana longgar yang ada, PATI Ronghiya, Bangladesh, Indonesia, Burma, India, Vietnam dan lain-lain kini sedang mara ke depan dan mengambil alih tempat niaga, kawasan perumahan dan bergerak berani menindas rakyat tempatan. Bila bilangan kecil, mereka akur berdiam diri. Bila bilangan mereka membesar, apatah lagi berjuta orang, mereka akan main kasar.
Kini pendatang dari China pula mengelabui suasana. Pada 25 September lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya membuat pengumuman bak kut teh (sup daging dan tulang babi) sebagai makanan warisan, mengetepikan (pengecualian) visa bagi berjuta-juta lagi pelawat dari China khas bagi tahun ini.
Masih tidak belajarkah daripada kegagalan pelawat 1.2 juta orang Tiongkok yang hilang tak dapat dikesan oleh Jabatan Imigresen antara 2019 dan 2021 itu? – UTUSAN
Tan Sri Dr. Rais Yatim ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negara.










