KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim bersedia menjawab segala persoalan dibangkitkan dalam debat bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Rawa.
Katanya, segala perbincangan telah dibuat dengan pihak penganjur dan beliau hanya menunggu tarikh sesuai untuk debat itu diadakan.
“Saya dah bincang dengan pihak Sinar, kita dah susun atur tarikh yang bersesuaian untuk Yang Berhormat Parit Buntar dan saya, memang ada perbincangan, jadi tak perlulah untuk tergopoh-gapah.
“Tapi saya nak nasihatkan, jangan banyak keluarkan kenyataan yang mengelirukan, sama ada saya dianiaya atau tidak, saya akan jawab waktu debat itu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Mujahid semalam yang menjemput Azeez untuk berdebat mengenai kedudukan institusi kewangan yang menguruskan dana umat Islam serta dakwaan perkembangan Tabung Haji (TH) sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Menurut Mujahid, beliau sudah lama bersedia malah perdebatan itu harus disegerakan supaya orang ramai boleh menilai.
Azeez berkata, jika Mujahid ikhlas untuk berdebat, beliau tidak harus menggunakan media sosial untuk membangkit isu itu.
“Dia boleh telefon saya terus, tapi kenapa nak guna media sosial?
“Saya pertikaikan keikhlasannya, kalau nak debat kenapa letak gambar saya digari? Gambar lokap? Cara jemputan itu pun dah buat saya terkilan. Saya tak mahu berdebat dengan orang dalam keadaan saya marah dekat orang tu, saya nak tenang,” katanya.
Azeez berkata, beliau telah hadir ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk berdebat isu sama anjuran UMNO Online pada 22 Julai lalu.
Namun Mujahid tidak hadir sekali gus menyebabkan perdebatan itu berlangsung secara dua orang sahaja, iaitu melibatkan moderator dan Azeez sahaja.
“Saya difahamkan dia (Mujahid) ada, sampaikan kerusi dia kena ubah, akhirnya saya debat dua orang dengan Datuk Azizan (moderator).
“Tapi kali ini saya akan berdebat secara bertamadun, ilmiah tanpa ada sebarang prasangka buruk, kita tak mahu kita dilihat sebagai seorang yang jahil, kita nak betul-betul demi umat,” jelasnya.
Azeez berkata, isu perdebatan kali ini perlulah secara menyeluruh dan tidak fokus kepada satu isu sahaja.










