PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) sekali lagi kehilangan seorang pemimpinnya menyaksikan Ketua Wira Warisan meletak jawatan sekali gus keluar daripada parti berkenaan.
Mohd. Ismail Ayob berkata, keputusan keluar parti itu bukan disebabkan menerima tawaran atau imbuhan menyertai parti-parti politik lain.
Sebaliknya, beliau berkata, keputusan itu dibuat akibat kegagalannya sebagai pemimpin sepanjang menjadi Ketua Wira Warisan dan Ketua Bahagian Warisan Parlimen Kinabatangan.
Disebabkan itu, katanya, tiada sidang media dianjurkan sebaliknya hanya kertas pemakluman keluar parti kepada pimpinan tertinggi parti atas kerelaannya.
“Saya mohon maaf di atas tindakan saya dan saya akui selama saya menjawat jawatan sebagai ketua bahagian, banyak kekurangan dan saya beranggapan saya gagal sebagai pemimpin, gagal sebagai ketua bahagian dan gagal sebagai ketua wira pusat.
“Sekali lagi saya mohon maaf dan ampun kepada semua, terima kasih kepada seluruh barisan kepemimpinan Warisan yang mendidik saya dan juga kepada seluruh penyokong-penyokong Warisan.
“Kehidupan ini umpama pelangi yang akan turun selepas hujan, biarlah hubungan kita ini merentasi sempadan politik. Saya pasti suatu hari nanti kita akan bersama semula dalam persada politik,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Ismail juga berkata, keputusan itu adalah berat lebih-lebih lagi beliau telah membesar di dalam Warisan sejak lama.
“Saya minta maaf sebab tidak berbincang awal dengan kamu (Warisan) semua sebelum saya buat keputusan keluar parti.
“(Keputusan ini) pahit tapi harus ditelan,” katanya.
Utusan Malaysia sedang mendapatkan maklum balas dari Mohd. Ismail dan pimpinan tertinggi Warisan berhubung perkara itu.
Pada Ogos 2022, Warisan mengumumkan barisan kepemimpinan parti untuk penggal 2021 hingga 2024 setelah Perhimpunan Agung Tahun Warisan 2021 dan pemilihan selesai dilaksana, menyaksikan Mohd. Ismail dilantik sebagai Ketua Wira.
Sebelum itu, bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman ketika itu tidak mempertahan jawatan Ketua Wira kerana memberi laluan kepada pemimpin muda.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mohd. Ismail pernah bertanding atas tiket Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau, namun tewas oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman dengan undi majoriti 1,628.
Beliau juga tewas oleh calon BN juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin di DUN Lamag, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 2020 dengan undi majoriti 661. – UTUSAN











