Sejak awal 2020, Malaysia diuji dengan kehadiran virus berbahaya yang memberi kesan negatif kepada kesihatan dan ekonomi. Ia kerana jangkitan yang mudah berlaku di antara manusia yang saling berinteraksi fizikal. Perkara ini membuatkan virus ini sebagai musuh yang tidak dapat dilihat sehinggakan kadang-kadang ada mangsa yang membawa virus tanpa diketahui.
Situasi yang menimpa seluruh umat manusia tanpa mengenal bangsa mahupun agama di seluruh dunia, mula menunjukkan harapan baru. Ini apabila pada akhir 2020 ditemukan vaksin yang mampu membina imun tubuh melindung diri daripada virus ini.
Walaupun vaksin atau mana-mana ubat sekalipun tidak dijamin 100% menyembuhkan, paling tidak ia membantu menurunkan kes-kes positif seperti laporan pelbagai negara yang sudah mendapatkan vaksin seawal Disember 2020.
Seperti yang kita belajar dalam akidah Islam, hakikat yang menyembuhkan adalah Allah SWT bukan ubat. Namun kita juga dilarang meninggalkan usaha zahir (secara hukum adat) untuk minum ubat termasuk dalam konteks penyakit menular adalah dengan vaksin untuk membentuk imun tubuh melawan virus menular ini.
Sayangnya, usaha melawan virus Covid-19 ini mengalami tentangan baharu natijah pelbagai berita palsu mengundang keraguan kepada masyarakat terhadap penggunaan vaksin.
Dalam Islam, sesuatu bidang perlulah diserahkan kepada ahlinya atau dikenal dengan istilah ahl al-khibrah. Bekas Mufti Mesir, Sheikh Jad al-Haqq menyatakan di dalam Fatawa al-Azhar, dalam hal perubatan, maka doktor perubatan dianggap ahl al-khibrah.
Menurut ahl al-khibrah, vaksin ini selamat dengan peratusan keberkesanannya agak tinggi berbanding tanpa vaksin.
Namun, masih ada orang awam yang tidak memahami ilmu perubatan terpengaruh dengan dakyah-dakyah untuk menjatuhkan usaha vaksinasi demi membendung Covid-19.
Pelbagai berita palsu yang beredar dianggap benar sedangkan laporan rasmi oleh pakar dalam bidang tersebut dianggap tidak benar oleh golongan-golongan ini.
Walhal, Islam tegas memerintahkan agar umatnya sentiasa menjaga kesihatan. Rasulullah SAW bersabda: Allah tidak menurunkan suatu penyakit kecuali menurunkan (pula) ubatnya. (riwayat Bukhari)
Demikian juga sabda Nabi SAW: Berubatlah, kerana Allah tidak membuat penyakit kecuali membuat pula ubatnya selain satu penyakit, iaitu tua. (riwayat Abu Daud)
Hadis-hadis ini jelas mengukuhkan perintah kepada umat Islam untuk berusaha mencari penawar bagi apa pun penyakit.

Menurut ilmu perubatan, vaksin berfungsi sebagai langkah pencegahan kerana vaksin yang masuk ke dalam tubuh akan menjadikan tubuh kita mengenal virus Covid-19. Apabila ia hinggap di tubuh kita, maka sistem imuniti tubuh akan mengalahkan virus Covid-19.
Menurut Islam pula, langkah pencegahan ini termaktub dalam kitab-kitab kaedah fikah yang bermaksud: “Mencegah lebih utama daripada menghilangkan”. Ia juga selari dengan tuntutan Islam untuk menghilangkan segala jenis bahaya seperti kaedah: “Kemudaratan wajib dihilangkan”.
Imam al-Qastalani (w. 923H) berpendapat, ayat 102 surah al-Nisa’, menunjukkan wajibnya berubat dengan ubat dan menjaga diri daripada wabak penyakit. Daripada semua dalil ini, jelas menunjukkan kita wajib berusaha menjaga kesihatan diri dan komuniti.
Jika memang dengan mengambil vaksin adalah satu-satunya cara menghentikan penularan Covid-19, maka menjadi tanggungjawab seorang muslim mengambilnya bagi yang cukup syarat.
Seperti di dalam kaedah fikah lainnya: “Perintah terhadap sesuatu juga bererti perintah untuk melakukan wasilahnya”.
Berkaitan berita palsu tentang vaksin Covid-19, wajib bagi umat Islam memahami konsep berita mutawatir (diberitakan oleh jumlah yang banyak). Sehingga hari ini, ada lebih 30 juta manusia dari seluruh dunia telah mengambil vaksin ini.
Bagaimana mungkin masih ada yang percaya dengan berita palsu mendakwa vaksin ini tidak selamat atau perbuatan dajjal? Ia persis menolak berita mutawatir yang dilarang oleh Islam.
Justeru itu, diharap umat Islam tidak mudah terikut-ikut dengan dakyah yang melawan arus mutawatir. Lebih-lebih lagi, vaksin ini diiktiraf oleh majoriti ahl al-khibrah.
Bagi ejen-ejen yang menyebar berita palsu, mereka patut takut dengan ancaman dosa atas perbuatan yang hina ini. Nabi SAW bersabda: Cukuplah menipu (menurut riwayat Abu Daud: dosa) bagi seseorang yang menyampaikan segala apa yang ia dengari. (riwayat Muslim dan Abu Daud)
Imam al-Nawawi dan Imam al-Munawi menjelaskan, ketika seseorang yang menyampaikan apa sahaja yang ia dengar maka mungkin ada yang ia sampaikan itu adalah berita palsu, oleh itu ia telah berdosa kerana membantu menyebarkan kebohongan.
Kesimpulannya, dapat difahami menyebarkan apa-apa berita yang berlegar di media sosial akan menjadi ‘saham’ dosa yang akan mengancam kita di akhirat. Sesuatu yang tidak pasti tidak boleh kita sebarkan, itulah tanggungjawab orang beriman.
Berpadalah bagi orang mukmin untuk mengambil semua maklumat tentang vaksin ini daripada ahl al-khibrah iaitu para doktor perubatan dan Kementerian Kesihatan.
Kalaulah benar berita-berita serong tentang vaksin ini, mana mungkin beribu doktor dari seluruh dunia bersepakat untuk berdusta.
Ulama-ulama besar dunia seperti Sheikh Abdullah Bayyah, Sheikh Ahmad Raisuni, Sheikh Ali al-Shabuni dan kiai-kiai besar Nahdlatul Ulama di Indonesia pun mengambilnya bagaimana pula dengan kita yang awam ini masih mempertikaikan sesuatu yang mutawatir?
- PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felo Kehormat IKIM.










