PETALING JAYA: Sebilangan besar kawasan di Kalimantan dan Sumatera dikesan dengan titik panas terbanyak sekali gus menyimpulkan Indonesia adalah punca utama negara lain khususnya Malaysia terpalit masalah jerebu.
Meskipun kerajaan Indonesia menafikan ia berpunca daripada kebakaran hutan di negara itu, bagaimanapun Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura mendedahkan, banyak kawasan di republik itu memaparkan titik panas (hotspot) dan status jerebu tebal (dense haze).
Berdasarkan paparan peta terkini di laman sesawang ASMC, keadaan jerebu di Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan berada di tahap teruk, malah keadaan sama berlaku di Sumatera menyaksikan kawasan seperti Jambi dan Palembang turut dilorekkan sebagai kawasan dengan status ‘jerebu tebal’.
TITIK PANAS
Selain itu, terdapat lebih 2,000 titik panas dilaporkan dikesan di serata Indonesia seperti di Sulawesi, Kalimantan Timur, Pontianak, Singkawang, Surabaya, Nusa Tenggara dan Sumatera.
Lebih menguatkan punca jerebu yang berpusat dari Indonesia sehingga merentas sempadan negara disebabkan carta aliran angin sepanjang 2,500 kaki (ft wind) dengan angin berkelajuan antara 40 hingga 80 kilometer sejam (km/jam).
Aliran angin itu menunjukkan ia bergerak ke atas melalui Laut Banda, Laut Jawa ke Kepulauan Riau yang membadai dan membawa jerebu ke republik Singapura termasuk di negeri-negeri Malaysia Timur.
ASMC dalam penjelasannya berkata, berdasarkan cuaca terkini dan situasi jerebu menggunakan satelit bertarikh 4 Oktober lalu, titik panas dikesan bertaburan di Kalimantan khusnya di selatan.
Beberapa titik panas terpencil turut dikesan di Malaysia Timur, Jawa, Kepulauan Sunda Kecil dan Sulawesi.
ASMC menyatakan, jerebu asap sederhana hingga tebal diperhati di bahagian selatan Sumatera, manakala kepulan asap sedikit dan sederhana juga diperhatikan dari titik panas yang dikesan di Kalimantan Barat dan seluruh Kalimantan Timur.
Pensyarah Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, sememangnya jerebu disebabkan oleh Indonesia dan mereka tidak sepatutnya menafikan hakikat ini.
“Namun dalam kes ini, Indonesialah faktor terbesarnya. Sebenarnya, masalah ini sudah berlaku berpuluh tahun lalu tetapi tindakan diambil hanya setakat berunding.
“Atas semangat ASEAN, kita tidak mahu ada permusuhan dengan negara jiran. Namun, tidak boleh tidak harus ada tindakan supaya tidak berulang lagi,” katanya. – UTUSAN











