Kenapa nak tulis benda negatif dalam lagu? -Habsah Hassan

Kenapa nak tulis benda negatif dalam lagu, tanya Habsah Hassan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan berharap artis tempatan tidak menggunakan karya seni seperti lagu sebagai platform menyebarkan pengaruh negatif termasuk elemen-elemen berbaur lucah.

Kata Habsah, ini kerana lagu mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat dan tidak seharusnya digunakan untuk menyebarkan pengaruh negatif.

“Kita kena faham, lagu bukan sekadar hiburan. Negara luar seperti Korea dan Jepun gunakan lagu untuk sebarkan ideologi kerajaan. Ini bermaksud lagu mempunyai peranan yang cukup besar dalam pembentukan sesebuah masyarakat.

“Lagu ada pengikut dan setiap yang disampaikan menerusinya akan menjadi ikutan. Kalau buruk, maka buruklah jadinya. Itulah bahayanya apabila lagu disalah guna,” katanya ketika dihubungi semalam.

Habsah diminta mengulas tentang isu lagu MalamPagi nyanyian Saixse yang didakwa mengandungi mesej berbaur lucah.

Dalam pada itu, Habsah juga menasihatkan agar penulis lirik tidak terikut-ikut budaya barat yang banyak menggunakan maksud tersurat dan tersirat (double meaning) sebagai cara menyampaikan perkara-perkara negatif dalam lagu.

“Double meaning memang sering digunakan dalam lagu, contoh saya guna simbolik alam untuk menceritakan tentang kehidupan.

“Ia adalah satu unsur kesenian, tapi jangan dirosakkan dengan mesej-mesej lucah dan negatif. Kenapa kita nak tulis perkara negatif, sedangkan banyak perkara baik dalam dunia ini yang boleh kita ceritakan dalam lagu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Suria FM, DJ Lin berkata, stesen radio popular tersebut tidak akan berkompromi dan memainkan lagu-lagu yang mempunyai unsur lucah atau membawa pengaruh negatif.

“Setiap lagu kami akan dengar, meneliti lirik dan komen-komen warganet di media sosial berhubung sesebuah lagu baharu. Bukan dapat sahaja, terus mainkan. Perlu ada tapisan dan penelitian.

“Tambahan pula, zaman sekarang generasi muda sangat dahagakan lagu-lagu tular. Jadi lirik lagu berbentuk lucah, negatif mampu memberi impak yang tidak baik untuk generasi muda,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×