LUMUT: Aktiviti melombong pasir dan membawa keluar bahan itu di kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang, Segari, dekat sini dibenarkan selepas syarikat terbabit memenuhi syarat lesen ditetapkan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, di peringkat pihaknya, syarikat tersebut memperoleh kelulusan berkaitan alam sekitar untuk kerja-kerja itu dibenarkan.
“(Syarat lesen) perkara utama melibatkan elemen (kelulusan) Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang perlu diserahkan (kepada MPM) dan pihak pemaju (syarikat) telah berjaya memperoleh EIA tersebut.
“Saya tidak boleh mengulas bidang kuasa pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS). Di peringkat kita kelulusan hanya diberikan jika berjaya memenuhi syarat-syarat EIA dan mereka berjaya memperolehnya (diluluskan JAS),” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPM dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Seri Iskandar, di sini semalam.
Beliau mengulas kegiatan melombong pasir dan membawa keluar bahan itu menggunakan tongkang di Pantai Pasir Panjang bermula 25 September lalu.
Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) mengesan kegiatan aktiviti melombong pasir dan membawa keluar bahan itu menggunakan jalan laut bermula malam 25 September lepas sehingga awal pagi keesokannya.
Berikutan itu, Kuasa membuat laporan di Balai Polis Segari pada pagi 26 September lalu.
Aktiviti itu dikesan dan dibantah oleh aktivis alam sekitar kerana kawasan pantai tersebut adalah lokasi utama pendaratan penyu di Perak yang difahamkan dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1).
Awal tahun lalu, MPM telah mengeluarkan notis henti kerja ke atas projek pengorekan pasir yang dijalankan di kawasan tersebut.
Menurut Syamsul Hazeman, apabila syarikat tersebut berjaya membuktikan mereka memperolehi kelulusan EIA, maka notis henti kerja yang dikeluarkan oleh MPM sebelum ini boleh dianggap sudah tidak terpakai.
Beliau berkata, pihaknya tidak boleh menghalang setiap pemilik tanah untuk memajukan tanah mereka dan berhak memohon dengan syarat mematuhi garis panduan dan syarat yang ditetapkan.
Sebelum ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) bersama Kuasa, Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak (Ekologi Perak) dan Persatuan Penggiat Alam Segari mengulangi kebimbangan terhadap eksploitasi dan ancaman Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1) tersebut. – UTUSAN











