LIPIS: Sebanyak empat keluarga berdepan kesulitan dan rasa tidak selesa setiap kali hujan lebat apabila kawasan rumah mereka sering dimasuki air di Taman Permai Fasa Dua bandar Kuala Lipis, di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk, Wan Nazrin Wan Ahmad Sabri, 31, berkata, senario banjir kilat berlaku sejak empat tahun lalu berikutan banyak taman perumahan dibangunkan berhampiran kediaman mereka.
“Banjir kilat berlaku tiga kali setahun dan setiap kali kejadian ini, air melimpah masuk ke dalam dapur serta merosakkan peralatan sehingga kami tidak selesa tinggal di sini.
“Puncanya kemungkinan longkang kecil dan air melimpah setiap kali hujan lebat seperti berlaku kejadian baru-baru ini apabila banjir kilat mendadak,” katanya di sini semalam.
Menurut Wan Nazrin, punca utama banjir kilat juga berikutan air datang dari perumahan berdekatan dan masuk ke longkang di belakang rumah mereka apabila hujan lebat.
Dia yang tinggal di situ lebih 20 tahun lalu meminta pihak berkuasa tempatan atau pihak berwajib dapat melebar dan mendalamkan saiz longkang bagi mengelakkan banjir kilat berulang di belakang kediaman mereka.
Dalam pada itu, jirannya, G. Ganesan, 58, berkata, setiap kali hujan lebat pada waktu malam, keluarganya tidak dapat melelapkan mata bimbang air masuk ke dalam rumah.
“Kejadian ini kerap berlaku sejak empat tahun lalu dan sampai bila kami berdepan ketidakselesaan berbanding dengan jiran di taman perumahan tempat lain,” katanya. – UTUSAN










