Bicara kes Hafidz Roshdi cederakan Nurul Shuhada Februari 2024

Bicara kes Hafidz Roshdi cederakan Nurul Shuhada Februari 2024

MUHAMMAD Hafidz Roshdi (kanan) ketika hadir bersama peguamnya di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor bagi sebutan kes mencederakan Nurul Shuhada Mat Shukri. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KUBU BHARU: Mahkamah Majistret di sini semalam menetapkan perbicaraan kes pelakon Muhammad Hafidz Roshdi atas tuduhan mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, didengar pada Februari tahun depan.

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai majistret pada prosiding itu menetapkan perbicaraan didengar selama dua hari pada 6 dan 7 Februari 2024.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Muhammad Hafidz memaklumkan, pihaknya sudah mengemukakan representasi kepada pejabat timbalan pendakwa raya bagi menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Ujar beliau, representasi itu dikemukakan pada 28 September lalu selepas menerima laporan perubatan aktor tersebut dari Hospital Shah Alam.

“Kami perlu mendapatkan pandangan pakar serta merujuk rekod-rekod kesihatan tertuduh di hospital berkenaan sebelum mengemukakan representasi.

“Sebelum ini, anak guam saya telah dirujuk ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak namun kami perlu mendapatkan rekod kesihatan mentalnya. Oleh itu, kami memerlukan masa untuk memfailkan representasi berkenaan,” kata peguam itu.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah memerintahkan pelakon itu menjalani pemeriksaan psikiatri selepas pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri mengesahkan, pembelaan telah memfailkan representasi untuk pertimbangan pihak pendakwaan.

Pada 13 Mac lalu, Muhammad Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada (ketika itu isterinya), 29, dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak.

Pelakon drama bersiri `Tundukkan Playboy Itu’, dituduh melakukan kesalahan tersebut berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada 3.22 pagi, 2 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan pasangan itu bercerai talak satu.

Ketika ditemui wakil media di luar mahkamah, Muhammad Hafidz berkata, dia telah dirujuk ke Hospital Shah Alam dan menerima rawatan susulan sejak tiga tahun lalu berhubung masalah kesihatan mental (bipolar) yang dihadapinya.

“Saya juga perlu mendapatkan rawatan dan preskripsi ubat selain perlu memeriksa kestabilan hormon,” kata pelakon itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×