UMS bangun penyelidikan ladang kelapa sawit bersepadu

UMS bangun penyelidikan ladang kelapa sawit bersepadu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Pengurusan EcoFarm (EcoFarm), Universiti Malaysia Sabah (UMS) membangunkan bidang penyelidikan dan pembelajaran berkaitan perladangan kelapa sawit bersepadu di Keningau.

Majlis pelancaran kerjasama antara UMS dan Yun Fook Resources (YFR) berlangsung di Pusat Penyelidikan Makanan ternakan (PPMT) Kampung Apin-Apin Keningau dikenali sebagai AFEEDRI.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Kasim Mansor berkata, pelancaran tersebut merupakan kesinambungan daripada kerjasama yang telah dimeterai oleh kedua-dua pihak sewaktu lawatan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin ke UMS pada Jun lalu.

Kata beliau, pelancaran itu merupakan titik permulaan kepada kerja-kerja di lapangan bagi projek berkenaan, yang mana kawasan perladangan kelapa sawit bersepadu telah dibersihkan dan akan ditanam dengan pokok kelapa sawit, sesuai dengan
penyelidikan yang dipersetujui dalam memorandum perjanjian.

“Tanaman lain yang akan disepadukan dengan tanaman kelapa sawit seperti durian, nangka, avokado dan tanaman jangka pendek seperti tembikai untuk menambah nilai ekonomi ladang berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Selain projek pembangunan tanah di Kg. Apin-Apin, Ecofarm UMS juga dalam usaha memajukan kawasan tanah UMS di Mesilou, Kundasang sebagai Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Pertanian Tanah Tinggi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly menjelaskan, pelbagai perkara termasuk kesesuaian tanaman dengan keadaan cerun dan nutrien tanah, sumber air dan saliran telah
dipertimbangkan oleh penyelidik UMS.

Katanya, bekalan air disalurkan menggunakan teknik fertigasi pintar ke kawasan yang agak kering untuk membolehkan tanaman berkenaan tumbuh dan mengeluarkan hasil menepati keperluan industri.

“Ini sesuai dengan hasrat kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang menekankan penggunaan teknologi dalam memantapkan industri pertanian,” ujarnya.

Pengarah EcoFarm, Ts. Dr. Januarius Gobilik pula menjelaskan, projek penanaman kelapa sawit bersepadu seluas 33 ekar itu dijangka akan selesai pada Oktober ini.

Jelasnya, penyelidikan dan pembelajaran yang berkaitan akan dijalankan selari dengan kemajuan projek tersebut.

“Selain projek perladangan kelapa sawit bersepadu, projek lain di tanah UMS, Kg. Apin-Apin adalah perladangan kelapa (pandan dan tacunan) bersepadu yang dijalankan oleh UMS bersama Malaysian Kuwaiti Investment Corp. Sdn. Bhd. (MKIC).

“Kerja pembukaan tanah bagi projek MKIC sudah bermula dan pelancaran dijangka dilaksanakan pada penghujung Oktober,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×