Tingkat peruntukan kebajikan mahasiswa

Tingkat peruntukan kebajikan mahasiswa

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2024 yang dibentangkan minggu depan perlu memasukkan peruntukan terhadap soal kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang kini berdepan kenaikan kos sara hidup di kampus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, soal kebajikan pelajar perlu diberikan perhatian, selain peruntukan yang menekankan tugas hakiki universiti serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

AHMAD FAISAL MOHAMED FIAH

Bekas Pengerusi Majlis Presiden Persatuan Akademik (MPPA) itu berkata, mahasiswa juga berdepan dengan isu sama dengan mereka membeli sumber serta bahan mentah sama seperti orang lain, sedangkan tidak ada pendapatan.

“Jadi perlu ada satu inisiatif yang lebih tersusun dan lebih spesifik dalam konteks pelajar universiti,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, lebih 500,000 mahasiswa berdepan kenaikan kos sara hidup yang ketara antara RM200 ke RM300 sebulan dalam sesi baharu pengajian.

Ini melibatkan kenaikan kos makanan dari RM10 ke RM15 (makan tengah hari), kos pengangkutan RM80 ke RM100 sebulan, sewa rumah yang naik dari RM200 ke RM260 terutama di bandar-bandar besar, pembelian buku selain peralatan pembelajaran.

Untuk jimatkan kos, mereka yang menyewa rumah terpaksa masak sendiri untuk makan malam dan dikongsi bersama rakan lain. Itu belum lagi ditambah kos utiliti antara RM100 ke RM200 sebulan memandangkan bukan mudah mendapatkan sewa rumah pada harga rendah.

Tambah menyulitkan, wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya berbaki RM300 selepas penolakan yuran pengajian pada setiap semester yang digunakan untuk belanja harian.

Ahmad Faisal berkata, setiap IPT menawarkan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban mahasiswa.

Bagaimanapun katanya, insentif itu agak terhad dan bergantung kepada kelayakan serta kriteria tertentu yang diperlukan.

“Oleh itu, dalam keadaan sekarang, IPT mungkin tidak boleh selamanya bergantung dengan dana daripada kerajaan, pelajar perlu kreatif serta masyarakat sekeliling pun kena sama-sama bantu.

“Perlu ada platform untuk masyarakat sekeliling, komuniti dan alumni untuk menyumbang. Itu satu penyelesaian jangka panjang yang perlu difikirkan sebab kalau (bergantung) dana kerajaan saja, maka agak terhad,” katanya.

Sementara itu, Bendahari Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu seperti melaksanakan pendidikan percuma atau pemberian subsidi yuran kepada golongan B40 bagi menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, memang tidak dapat dinafikan kos sara hidup ketika ini turut memberi kesan kepada pelajar IPT.

“Pihak universiti perlu mempertimbang berhubung yuran pendaftaran kepada pelajar yang kurang mampu.

“Mahasiswa juga perlu dibantu seperti penambahan kolej kediaman supaya mereka dapat tinggal di dalam kampus sekali gus mengurangkan kos pengangkutan dan sewa rumah di luar,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Ilyfaris Rahimudin, 23, berkata, kerajaan boleh memperkenal baucar makanan bagi membantu golongan berkeperluan untuk berbelanja di kafeteria universiti dan pada masa yang sama dapat membantu merangsang ekonomi kafeteria terbabit.

Katanya, kerajaan perlu membuat inisiatif mengurangkan penggunaan kertas dengan universiti memfokuskan kepada penghantaran tugasan secara dalam talian atau digital.

Katanya, ini bagi mengurangkan kos cetakan bahan tugasan yang agak mahal dan membebankan pelajar lebih-lebih lagi di minggu-minggu akhir sesi kuliah.

“Selain itu kerajaan perlu memberi pendidikan secara subsidi yuran kepada golongan bersasar sebagai contoh golongan b40 kerana ada anak muda pada hari ini tidak dapat melanjutkan pengajian ke IPT ekoram yuran yang mahal.

“Malah ada dalam kalangan mereka terpaksa bekerja sambilan hanya untuk membayar yuran dan menampung kos sara hidup seharian.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×