Barangan kemas identiti negara - Utusan Malaysia

Barangan kemas identiti negara

Nayli Batrishya Norbik Bashah memperaga barangan kemas Trisya & Co.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun pengalaman dalam dunia keusahawa­nan masih mentah, gadis ini memberanikan diri membuka kedai barangan kemas pada usia hanya 18 tahun.

Lebih membanggakan apabila Nayli Batrishya Norbik Bashah menampilkan hasil sentuhan rekaan sendiri di kedainya, Trisya & Co. Nayli berkata, ko­lek­si loket pesona (charm beads) dengan rekaan kuih bahulu, wau bulan dan durian, antara koleksi yang menyerlahkan identiti Malaysia. Katanya, charm beads tersebut disuai padan dengan gelang tangan gelung di mana set ikonik ini dinamakan sebagai Links of Malaysia (LOM).

“Saya bermula de­ngan langkah kanan kerana koleksi beridentiti Malaysia ini bakal dipamerkan da­lam sebuah pameran fesyen terbesar di London pada akhir tahun,” katanya pada majlis memperkenalkan Trisya & Co di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nayli yang mesra disapa Trisya terpaut hati pada kilauan aksesori barangan kemas sejak usianya masih kecil hasil dorongan ibunya, Datin Dr. Raskidah Ali yang merupakan pengasas kepada jenama Trisya & Co.

Katanya, setiap kali melancong, beliau tertarik membeli aksesori seperti gelang, loket dan cincin berbanding produk pakaian.

“Saya suka singgah mendapatkan charms di butik barangan kemas terkenal sebagai ole-ole. Bagaimanapun kebanyakan koleksi charms dibutik diper­buat daripada perak dan emas putih.

“Apabila diberi amanah menguruskan perniagaan Trishya & Co saya mahu mengkomersilkan identiti negara saya dapati masih tidak ramai yang memperkenalkannya,” katanya.

Bertitik tolak daripada situlah bermulanya idea menghasilkan koleksi LOM.

TARIK PELANGGAN MUDA

Bagi menarik minat golongan kanak-kanak terhadap aksesori, Nayli turut menampilkan rekaan Lady Bug, yang merupakan koleksi pertama kanak-kanak keluaran jenama tersebut.

Sementara itu, dalam usaha menarik golongan muda untuk melabur dalam emas, Nayli turut memperkenalkan pelan simpanan emas serendah RM200.

“Melalui pelan simpanan emas secara bijak serendah RM200, dalam tempoh enam hingga 12 bulan. pembeli boleh menuntut koleksi emas yang ditempah dengan apa sahaja rekaan yang diminati,” ujarnya.

Sementara itu, Raskidah berkata, pihaknya amat teruja dan sudah bersedia berkongsi keunikan rekaan barangan kemas jenama ini di peringkat antabarangsa.

“Kami amat berbesar hati menerima undangan ini yang diperkenalkan oleh sahabat saya juga merupakan peminat LOM.

“Kami berharap penyertaan ke pameran fesyen terbesar di London itu nanti dapat mengangkat jenama lokal setaraf produk antarabangsa.

“Bukan sekadar rekaan barangan kemas untuk wanita dan aksesori lelaki yang berkualiti tinggi malah kami menyasarkan janaan ekonomi dengan menampilkan rekaan bercirikan negara yang boleh dijadikan kenang-kenangan buat pelancong yang berkunjung ke sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×