KUALA LUMPUR: Di kala rakan sebayanya berkongsi kegembiraan bersama keluarga pada hari pertama mendaftarkan diri di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Yap Hao Yang hanya mampu menyembunyikan air mata selepas pemergian ibunya minggu lalu.
Berkongsi kisahnya kepada Utusan Malaysia, Hao Yang, 19, berkata, ibunya Lai Yoke Kin menghembuskan nafas terakhir 28 September lalu akibat kanser paru-paru.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, kedua ibu bapanya berpisah sejak empat tahun lalu dan dia tinggal bersama ibunya sebelum menyertai Maktab Tentera Diraja (MTD).

Katanya, dia terus menetap bersama ibunya walaupun wanita tersebut memutuskan untuk memeluk agama Islam pada 2019.
“Rasa sedih apabila terpaksa melaporkan diri hanya ditemani rakan sekerja emak pada masa sama melihat kawan-kawan lain berkongsi kebahagiaan dengan ahli keluarga. Biasanya ada emak yang datang memberikan sokongan.
“Bagaimanapun, segala nasihat emak saya akan tetap pegang untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat di masa hadapan,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi juruterbang pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurut Hao Yang, walaupun dia dan ibunya berbeza agama, namun kasih sayangnya terhadap wanita itu tidak pernah pudar.
Difahamkan, ketika ibunya menghembuskan nafas terakhir, Hao Yang dengan dibantu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menguruskan jenazah ibunya sehinggalah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22 Subang, Selangor.
Sementara itu, seorang lagi penuntut jurusan Teknologi Maritim, Pegawai Kadet Nur Aiman Syazwan Noor Azli, 19, berkata, dia membalas jasa bapanya dengan membantu menampung perbelanjaan keluarga dengan gaji diperolehinya sebagai Pegawai Kadet.
Menurutnya, dia tahu bahawa pendapatan bapanya sebagai pemandu lori tidaklah terlalu besar untuk menampung perbelanjaan dua lagi adiknya yang masih bersekolah.
“Selepas kehilangan emak tiga tahun lalu akibat kanser payudara, ayahlah yang menanggung perbelanjaan kami empat beradik, tetapi kini dengan gaji sebagai Pegawai Kadet, saya boleh membantu meringankan bebannya.
“Pada masa sama, saya akan terus pegang pesanan arwah emak untuk membuat bersungguh-sungguh dalam apa juga bidang diceburi supaya terus berjaya dalam kehidupan,” katanya.
Kedua-dua penuntut tersebut ditemui pada Majlis Perasmian dan Bacaan Ikrar Pelajar Baharu Minggu Perkasa Jatidiri Program Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/2024.
Sementara itu, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dalam ucapannya berkata, mengingatkan penuntut supaya menghayati lafaz ikrar yang dilafazkan dengan sepenuh dijiwa dan diikuti sehinggalah menggenggam ijazah kelak. – UTUSAN











