Laman Belia Sungai Rambai terabai

Laman Belia Sungai Rambai terabai

LANTAI pondok rehat dipenuhi najis burung. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kejernihan air sungai Laman Belia Sungai Rambai di sini tidak lagi mencuri tumpuan apabila dicemari kemudahan awam yang tidak diselenggara.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati banyak kemudahan awam yang rosak serta usang seperti jeti, peralatan senaman, taman permainan dan tandas awam sementara lantai tempat rehat dipenuhi najis burung.

Pengunjung, Mahmud Rosedi, 61, berkata, banyak perkara perlu diberi perhatian terutama melibatkan aspek keceriaan dan kebersihan.

MAHMUD ROSEDI

Katanya, kemudahan yang rosak dan tidak diselenggara juga boleh membahayakan ke­selamatan pengunjung khusus­nya kanak-kanak.

“Laman Belia ini bukan asing bagi saya kerana beberapa kali datang untuk bersantai bersama keluarga. Banyak perubahan berlaku dan kawasan ini sema­kin menjadi tumpuan ramai.

“Sedikit mengecewakan apabila kemudahan yang disediakan tidak dijaga dengan baik. Najis burung merata-merata termasuk di bawah jejambat yang secara tidak langsung memberi gambaran tahap kebersihan kawasan ini.

“Terdapat juga peralatan permainan kanak-kanak yang rosak seperti buaian dan gelongsor. Saya harap perkara ini diberi perhatian segera kerana isu ini akan memberikan imej negatif kepada sektor pelancongan Melaka,” katanya yang datang dari Muar, Johor.

PEMANDANGAN dan fasiliti di Laman Belia, Sungai Rambai, Melaka yang terabai sehingga menyuramkan suasana di lokasi yang pernah tular kerana kejernihan sungai di situ. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD

Sementara itu, penduduk, Abu Nazim Abu Bakar, 17, berkata, Laman Belia akan dipenuhi pengunjung ketika musim cuti sekolah dan hujung minggu.

Menurutnya, kehadiran orang ramai menjadi bukti bahawa kawasan itu memiliki tarikan tersendiri dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Perbaiki dan tambah kemudahan untuk keselesaan pengunjung. Kawasan ini dijaga dengan rapi sejak 2014 tetapi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tempat ini semakin suram.

“Selepas itu, bahagian di Jalan Ampas tidak lagi terurus sedangkan Laman Belia ini sa­ngat luas. Tiada guna memiliki air sungai yang jernih jika pemandangan (kemudahan) sekitar menyakitkan mata,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×