Parlimen Kemaman: Pas tidak fail rayuan, Che Alias tanding semula

Parlimen Kemaman: Pas tidak fail rayuan, Che Alias tanding semula

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas memutuskan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu yang membatalkan kemenangan calon parti itu, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas sudah bersiap sedia untuk mengambil langkah sete­rusnya yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan keputusan tersebut.

Katanya, keputusan itu diambil setelah Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis mengesahkan dalam sesi pengurusan kes melalui sidang video semalam bahawa keputusan dalam kes Petisyen Kemaman adalah sama seperti mana keputusan dalam kes Petisyen Kuala Terengganu.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemena­ngan Che Alias dalam PRU15 lalu setelah membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan itu dibuat selepas menerima dakwaan pempetisyen­ terdapat unsur rasuah dalambeberapa majlis rasmi kerajaan Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan kepada pengundi semasa kempen PRU15.

Dalam PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh sebanyak 65,714 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertan­ding, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing-masing mendapat undi 506 dan 8,340.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Che Alias boleh dicalonkan semula kerana Mahkamah Pilihan Raya tidak menamakan sesiapa pun pesalah dalam keputusannya.

Katanya, Pas akur dan hormati keputusan mahkamah tersebut dan tidak akan merayu.

“Keputusan untuk tidak mengemukakan rayuan adalah untuk menyerahkan semula mandat kepada rakyat bagi memilih wakil mereka di Parlimen.

“Kita menyedari ia akan menghabiskan wang yang ba­nyak di samping masa dan tenaga namun menyerahkan semula mandat kepada rakyat adalah lebih adil,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar tidak mahu terlalu yakin dapat memenangi semula Parlimen Kemaman walaupun mempunyai peluang cerah berdasarkan jumlah undi yang diperoleh dalam PRU15.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Pas akan tetap bekerja keras untuk mempertahankan kemenangan di Parlimen itu dan tidak meng­anggap mana-mana kerusi sebagai mudah.

“Kita anggap ia sebagai me­dan untuk bekerja dengan sepenuh hati dan kita percaya rakyat di kawasan itu juga sangat teruja beri kemenangan kepada kita sekali lagi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×