PETALING JAYA: Pelabur asing berubah menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia dengan menjual RM44.7 juta saham tempatan minggu lepas, berbanding belian bersih RM550.9 juta minggu sebelumnya.
Dalam laporan aliran dana mingguannya, MIDF Research berkata, setakat tahun ini, pelabur asing telah menjadi penjual bersih, melupuskan sejumlah RM1.96 bilion.
“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih bagi minggu ini ialah utiliti (RM86.7 juta), teknologi (RM34.9 juta) dan hartanah (RM30.7 juta), manakala tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM75.7 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM41.3 juta) dan penjagaan kesihatan (RM33.3 juta).
“Institusi tempatan meneruskan aliran jualan bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan jualan bersih RM98.5 juta,” katanya dalam nota kajian.
MIDF berkata, sebahagian besar aliran keluar berlaku Selasa lalu, serentak dengan keluaran data indeks harga pengeluar Malaysia.
Ujarnya, indeks harga prosedur menunjukkan peningkatan untuk bulan kedua berturut-turut, dengan penguncupan lebih perlahan sebanyak 1.8 peratus pada Ogos berbanding 2.3 peratus pada bulan sebelumnya.
“Setakat tahun ini, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih, mengumpul RM2.59 bilion.
“Peruncit tempatan menamatkan rentetan jualan bersih mereka selama 11 minggu, dengan membeli ekuiti domestik bernilai RM143.1 juta minggu lalu.
“Peruncit juga telah merekodkan jualan bersih berjumlah RM622.6 juta setakat tahun ini,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, dari segi penyertaan, terdapat peningkatan purata volum dagangan harian dalam kalangan pelabur asing sebanyak 3.9 peratus minggu lalu, manakala peruncit tempatan menyaksikan penurunan sebanyak 6.2 peratus dan institusi tempatan menurun sebanyak 9.2 peratus.
Mengulas mengenai senario antarabangsa, MIDF berkata, pasaran global kebanyakannya merosot minggu lepas, kerana pelabur menjangkakan kemungkinan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS).
“AS kini berdepan prospek kemungkinan penutupan kerajaan yang keempat dalam sedekad, membawa kepada pemberhentian ratusan ribu pekerja persekutuan dan mencetuskan kesan yang meluas.
“Antara 20 indeks yang kami pantau, sebanyak 16 mencatatkan penurunan mingguan, dengan hanya empat menunjukkan kenaikan: PSEi Filipina (2.91 peratus), Straits Times Singapura (0.39 peratus), Nasdaq (0.06 peratus) dan TAIEX Taiwan (0.06 peratus).
“Kerugian paling ketara ialah SET Thailand (3.36 peratus), VSE Ho Chi Minh Vietnam (3.26 peratus), dan Kospi Korea Selatan (1.72 peratus).
“Sementara itu, FBM KLCI merosot sebanyak 1.80 peratus,” katanya. – UTUSAN










