ARAU: Setiap hari, dua beradik berusia enam dan lapan tahun sentiasa teruja setiap kali menunggu ibu mereka datang menjemput di rumah pengasuh di Kampung Kubang Gajah di sini.
Sehingga semalam, mereka masih menunggu ibu mereka datang menjemput seperti biasa tanpa mengetahui yang ibu mereka sudah tiada lagi.
Pada usia yang masih kecil, sudah pastinya sukar apabila mengetahui insan kesayangan mereka sudah pergi selamanya dan tiada lagi kegirangan menanti ibu di muka pintu setiap hari.
Pengasuh kanak-kanak berkenaan, Hasnah Yahya, 63, berkata, biasanya sekitar satu atau dua jam sebelum ibu mereka datang jemput, kanak-kanak itu sudah bersedia dengan beg masing-masing.
“Tidak dapat saya bayangkan perasaan mereka apabila mengetahui ibunya sudah tiada kerana mereka masih terlalu kecil untuk memahami situasi yang berlaku,’’ katanya yang sudah menganggap dua kanak-kanak berkenaan seperti anaknya sendiri.
Menceritakan kejadian semalam, Hasnah berkata, sebelum ini, ibu mereka akan memaklumkan terlebih dahulu sebelum menghantar anak pada hari minggu, namun semalam bapa kanak-kanak itu sendiri datang menghantar tetapi tidak keluar dari keretanya atau melambai tangan.
“Sepatutnya saya tidak mengasuh semalam kerana bercuti. Selepas itu, saya menghantar pesanan kepada ibu mereka melalui Whatsapp namun tidak berbalas. Saya sudah rasa tidak sedap hati pada masa itu sebelum mengetahui mengenai kejadian sekitar pukul 12 tengah hari.
“Selepas mengetahui mengenai kejadian, saya sangat terkejut dan dalam masa sama sedih memikirkan anak-anak ini” katanya. – UTUSAN







