Belanjawan 2024 kembalikan minat pelajar ke sekolah - Utusan Malaysia

Belanjawan 2024 kembalikan minat pelajar ke sekolah

Walaupun sedia kekalkan harga lama, pengusaha kantin terpaksa mengkaji semula harga makan yang dijual sekiranya berlaku kenaikan luar biasa bahan mentah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan tentang penurunan trend minat pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Ini kerana sesetengah pelajar cukup takut dengan dua mata pelajaran ini yang dianggap susah.

Dalam masa sama, kita juga mendengar hilangnya minat pelajar untuk ke sekolah selepas selesa mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam talian ketika wabak Covid-19 melanda dunia.

Sehingga menyebabkan Kementerian Pendidikan (KPM) terpaksa mencari pendekatan baharu untuk mengembalikan semula minat pelajar bagi terus mengikuti pembelajaran secara fizikal di sekolah.

Antara alasan pelajar enggan ke sekolah adalah keadaan tempat belajar yang tidak selesa dengan infrastruktur tidak dijaga secara baik. Mana mungkin kanak-kanak ini selesa ke tandas yang paipnya bocor hingga menyebabkan banjir.

Mana mungkin pelajar ini selesa apabila flush tidak berfungsi dengan baik. Apabila ditanya kepada pihak sekolah, jawapan sama diberikan oleh guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), iaitu peruntukan tidak mencukupi.

Selain itu, alasan diberikan adalah berkaitan silibus yang terlalu tinggi. Pelajar jadi kurang minat apabila mereka rasa terbeban dengan mata pelajaran yang sukar. Sekolah yang dahulunya menyeronokkan kini menjadi beban, mereka terpaksa ke sekolah kerana takut dimarahi ibu bapa.

Bahkan kita kerap mendengar rungutan atau aduan daripada ibu bapa tentang keadaan sekolah anak mereka yang uzur di laman sosial selain pelbagai cadangan penambahan mata pelajaran oleh pelbagai pihak agak tidak logik didengar.

Kita juga mendengar keluhan meminta kerajaan merombak semula silibus sedia ada walaupun jawapan sudah diberikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada Belanjawan 2023, KPM menerima peruntukan terbesar dengan RM55.2 bilion, berbanding RM52.6 bilion pada Bajet 2022, namun impak daripada peruntukan itu masih lagi belum dirasai sepenuhnya.

Ini kerana jika dilihat pecahan jumlah belanjawan tahun ini, sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan untuk memastikan semua sekolah mempunyai infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik untuk murid.

Ini termasuk RM920 juta bagi menaik taraf bangunan dan infrastruktur di 380 sekolah usang, khususnya di Sabah dan Sarawak sementara RM900 juta untuk semua jenis sekolah kebangsaan, sekolah agama dan sekolah vernakular.

Ini bermakna hanya 4.2 peratus diperuntukkan untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran atau dalam kata lain, kerajaan memperuntukkan jumlah lebih tinggi untuk pengurusan yang berkaitan gaji guru dan penyelenggaraan sekolah sedia ada.

Pun begitu, kita masih lagi mendengar satu per satu aduan untuk menambah baik infrastruktur di sekolah atau dalam kata lain, mengapa masih ada sekolah berdepan kekangan bajet untuk menambah baik prasarana?

Tetapi jangan risau, Menteri Pendidikan sudah berjanji tidak akan sesekali menghentikan tumpuan serta perancangan pembinaan dan pembangunan infrastruktur pendidikan di semua negeri. Kita berharap belanjawan itu masih ada untuk keperluan sekolah-sekolah yang memerlukan.

Jadi, untuk Belanjawan 2024, kerajaan perlu memberi lebih tumpuan menambah peruntukan untuk pembangunan bagi meningkatkan infrastruktur di sekolah dan juga pembangunan kurikulum serta pembangunan insaniah murid.

KREATIVITI

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon pernah menyatakan, prasarana atau infrastruktur yang baik penting untuk persekitaran berkualiti kepada pelajar dan sekolah sebagai asas kepada pembangunan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, sahsiah mahupun intelek.

Bahkan KPM ketika itu prihatin dan sedar bahawa kejayaan pelajar amat bergantung kepada kecekapan serta kreativiti guru menyampaikan pengajaran mereka selain memastikan institusi pendidikan di bawah kementerian mempunyai prasarana dan infrastruktur yang lengkap bagi memenuhi kehendak era Pendidikan Abad Ke-21.

Sementara Fadhlina pada Julai lalu mengarahkan semua sekolah melakukan penilaian risiko bagi memastikan infrastruktur dan kemudahan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan selain mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Nooh, saranan itu hanya boleh dilakukan sekiranya bajet yang diperuntukkan oleh kerajaan mencukupi.

Katanya, perubahan total bagi mengembalikan semula semangat ke sekolah dapat dilakukan dengan memberi peruntukan lebih besar untuk sektor pendidikan termasuk peningkatan gaji guru, pembangunan infrastruktur pendidikan dan pembiayaan program biasiswa kepada pelajar berpotensi.

Kebanyakan sekolah pra 2000 berada dalam keadaan uzur. Jadi, peruntukan yang lebih perlu diberikan tahun depan adalah untuk memperbaiki infrastruktur di sekolah.

Ia diharap dapat mengelak sebarang kemalangan seperti berlaku kepada seorang pelajar di Ipoh yang cedera selepas dihempap tangki pam tandas.

“Yang kedua, pertambahan kawasan perumahan baharu tidak selaras dengan bilangan sekolah yang ada maka kebanyakan sekolah pra 2000 terpaksa menerima pertambahan pelajar yang terlalu ramai sedangkan ruang kantin pun tidak mencukupi.

“Di kawasan saya, di Sepang, Selangor ketika waktu rehat murid terpaksa duduk di lantai dan makan di kelas kerana ruang kantin tidak mencukupi walaupun mengguna pakai jadual waktu rehat anjal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Isu lambakan pelajar di sesebuah sekolah bukanlah perkara baharu dan perkara ini perlu diatasi segera. KPM perlu bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk melihat sama ada wujud keperluan membina sekolah baharu bagi kawasan berpenduduk padat selain akses bagi memudahkan pelajar.

Sudah pasti KPM pada tahun depan berpeluang sekali lagi menerima peruntukan yang besar. Diharap kementerian ini dapat menggalas tanggungjawab yang besar dalam memastikan setiap perbelanjaan daripada peruntukan Belanjawan 2024 dapat memberi impak optimum kepada pembangunan pendidikan negara menerusi tujuh teras telah digariskan. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×