PETALING JAYA: Keupayaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberikan pulangan yang konsisten terhadap para pelaburnya dalam tempoh sukar pandemik Covid-19 ini wajar dipuji.
Ini berdasarkan keupayaan agensi dana persaraan nasional itu mengimbangkan portfolio pelaburan dengan reaksi yang cukup pantas kepada iklim pelaburan yang amat cepat berubah dan mendebarkan.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelaburan dan pengimbangan portfolio KWSP secara strategik terutamanya portfolio ekuiti iaitu 42 peratus telah berjaya mengimbangkan keseluruhan portfolio miliknya.
“Ini telah ditafsirkan dengan pulangan yang cukup memberangsangkan iaitu RM47.64 bilion. Walaupun kadarnya 5.2 peratus berbanding 5.45 peratus tahun sebelumnya, tetapi jumlah pulangan 2019 jauh lebih rendah iaitu RM41.68 bilion.
“Apa yang dicapai KWSP boleh dikatakan against all odds kerana di sebalik kejayaan agensi itu, dua agensi pelaburan lain yang besar di Malaysia seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mencatatkan penurunan jumlah dan kadar yang lebih rendah pada tahun 2020 berbanding 2019,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Walau bagaimanapun ujar Aimi Zulhazmi, dengan penurunan kadar keuntungan dan faedah yang terendah seperti kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75 peratus, secara tidak langsung telah menurunkan keuntungan KWSP dalam portfolio simpanan tetap yang dilaburkan di sekuriti dan bon kerajaan serta simpanan di bank luar dan dalam negara iaitu sebanyak 46 peratus.
“Selain itu, tahun lalu simpanan persekutuan Amerika Syarikat (AS) turut menurunkan kadar faedahnya hampir 0 peratus berbanding 1.25 peratus tahun sebelumnya untuk menyokong ekonominya yang terkesan, sekali gus menjejaskan kadar pendapatan KWSP di luar negara.
“Lebih mencabar lagi, pandemik turut memberikan kesan mendalam kepada pendapatan KWSP dari portfolio hartanah dan infrastruktur walaupun kecil iaitu masing-masing 5 dan 7 peratus,” ujarnya.
Tambah beliau, kejayaan KWSP sepanjang tahun lalu membuktikan agensi itu mampu memberi reaksi pantas dan berjaya membuat jangkaan tepat dengan lebih 20 firma pelaburan di bawahnya.
Oleh itu katanya, persoalan sama ada mereka harus melabur lebih di luar negara atau pun di dalam negara bukanlah persoalan utama kerana apa yang penting KWSP harus bertindak mengikut kepentingan dan kebaikan pencarumnya.
“Namun begitu, saya percaya KWSP pasti akan bertindak bijak dalam memastikan portfolio di dalam negara menguntungkan pelbagai pihak seperti menyokong pasaran ekuiti tempatan dan sebagainya,” jelasnya.
Kelmarin, ketika hampir semua sektor ekonomi merekodkan perolehan negatif, KWSP mengumumkan dividen 5.20 peratus bagi Simpanan Konvensional manakala 4.90 peratus buat Simpanan Syariah bagi tahun kewangan 2020, sekali gus mengejutkan ahli-ahli dan penganalisis ekonomi yang menjangkakan kemerosotan agihan dividen berikutan situasi sukar pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Ketika ditanya mengenai pendapat segelintir pihak yang menyatakan pengeluar i-Lestari dan i-Sinar mengalami kerugian ekoran pulangan dividen tinggi diumumkan KWSP, Aimi Zulhazmi berpendapat sebaliknya.
“Kita tak boleh kata rugi kerana pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar dibuat atas keperluan mendesak jadi ia tidak harus dipersoal. Tetapi, mungkin golongan yang tidak mempunyai keperluan tersebut tetapi tetap mengeluarkannya untuk berbelanja mewah pastinya akan kehilangan peluang untuk mendapatkan keuntungan yang baik oleh KWSP.
“Simpanan tetap di bank pun memberikan kadar pulangan yang lebih rendah dari KWSP. Ada juga yang mungkin membuat pengeluaran i-Sinar untuk dilaburkan di ekuiti swasta yang lebih tinggi keuntungannya, namun kita harus ingat asas pelaburan, pulangan yang rendah berisiko rendah dan begitu juga sebaliknya,” katanya. – UTUSAN











