NABAWAN: Kira-kira 500 penduduk dari lapan kampung yang terputus hubungan luar akibat kejadian tanah runtuh pada awal bulan ini akhirnya menarik nafas lega apabila bantuan makanan akhirnya dapat disalurkan ke kampung mereka.
Lapan kampung yang terjejas akibat tanah runtuh pada 5 September lalu adalah Kampung Kabu, Kampung Saliliran, Kampung Siatu, Kampung Simohong, Kampung Karampalon, Kampung Babayasing, Kampung Dobolon dan Kampung Sibangali.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Abdul Razak Muda berkata, misi bantuan kemanusiaan Salinatan-Pensiangan kali ini membabitkan sebanyak lima kali penerbangan bagi menghantar barang makanan keperluan asas ke kampung-kampung yang terjejas.
“Misi kemanusiaan ini telah dijalankan sebanyak dua kali. Misi pertama diadakan pada 12 September lalu yang membabitkan penghantaran 2.3 tan barang makanan yang dihantar menggunakan pengangkutan air.
“Untuk misi kedua kali ini, ia melibatkan penghantaran kira-kira 11 tan barang makanan keperluan asas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Forces of Love.
“Misi hari ini membabitkan penggunaan dua helikopter iaitu jenis Mi-171 milik JBPM dan AW 139 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya semasa sidang akhbar, di sini baru-baru ini.
Misi kemanusiaan kali ini disertai seramai 105 orang anggota daripada 10 agensi seperti JBPM, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Forces of Love.

Sementara itu, Juruterbang JBPM, Ahmad Fissol Ismail berkata, keseluruhan anggaran perjalanan hari ini selama dua jam 30 minit dengan ketinggian kira-kira 914 meter dari paras laut. Bagi perjalanan dari Pekan Nabawan ke
Pensiangan pula, ia mengambil masa perjalanan kira-kira 40 minit dengan mengambil kira keadaan cuaca yang agak berawan di sesetengah kawasan. –UTUSAN











